Tourism Malaysia dekati anak muda menerusi penganjuran ‘Youth in Tourism’ 22
KUCHING, 18 Oktober 2022 – Tourism Malaysia buat julung-julung kalinya menganjurkan forum dan sesi townhall Youth in Tourism (YIT) 2022 bagi mengetengahkan suara dan pandangan anak muda sekali gus menjadi medan perkongsian pengalaman melibatkan kesediaan generasi muda untuk menghadapi cabaran sektor pekerjaaan dalam industri pelancongan pada masa hadapan.
Bermula di Kuching, Sarawak, YIT 2022 bakal digerakkan ke lima lagi lokasi di seluruh
negara iaitu di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sabah dan Kuala Lumpur.
Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, YIT 2022
turut memberi peluang kepada anak muda untuk memahami perkembangan industri
pelancongan negara termasuk peluang pekerjaan yang ditawarkan selain menerapkan
elemen keusahawanan berteraskan pelancongan dalam usaha menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu, seramai 300 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta,
pengusaha produk pelancongan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan telah dijemput untuk mengikuti forum bertajuk ‘Inspirasi Anak Muda Membuka Lembaran Baharu Industri Pelancongan Negara’ di Hotel Pullman, Kuching pada hari ini dari jam 9 pagi sehingga 1 petang.
Sebanyak tiga ahli panel dalam industri pelancongan akan berkongsi pengalaman dan
pengetahuan mereka menerusi sesi forum berkenaan bagi memberikan inspirasi dan
motivasi kepada golongan muda.
“Secara dasarnya, hasrat kita bukan sahaja untuk mendekati anak muda, bahkan
menyuntik aspirasi dalam kalangan golongan muda untuk memilih kerjaya mahupun
perniagaan berteraskan pelancongan.
“Langkah ini juga selari dengan saranan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO)
dengan menekankan kepentingan pelancongan lestari dalam konteks pertumbuhan
inklusif yang menjadi penghubung kepada segenap lapisan masyarakat bagi
meningkatkan perkembangan sosioekonomi dan peluang pekerjaan,” kata Dato’ Hj.
Zainuddin.