360,000 pengunjung meriahkan ulang tahun TV3 ke 39 di karnival Jom Heboh Selangor Generasi Muda
Petaling Jaya- Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila dihujani lebih 360,000 pengunjung sepanjang tiga hari diadakan di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.
KJH kali ini juga istimewa kerana turut menyambut ulang tahun TV3 yang ke-39 dan ini merupakan kali pertama acara padang ini berlangsung selama tiga hari berturut-turut iaitu 2 hingga 4 Jun (Jumaat, Sabtu dan Ahad).
Karnival Jom Heboh (KJH) Selangor Generasi Muda ini diterajui oleh Kerajaan Selangor menerusi Exco Generasi Muda, Sukan & Modal Insan Negeri Selangor.
Lokasi pertama ini menampilkan pelbagai kelainan yang menarik di setiap reruai KJH dan telah berjaya menarik perhatian pengunjung untuk hadir seawal 8.00 pagi.
Antaranya adalah pameran kereta Fast X,
pameran Anime, pertandingan Cosplay serta jualan eksklusif cenderahati ulang tahun TV3 ke-39 dengan kolaborasi bersama Alha Alfa (gincu) dan Ameera Zaini (tudung) di Kedai Jom Heboh.
Kemeriahan diteruskan lagi di booth Tonton Drama Sangat dengan kemunculan selebriti popular yang.membintangi drama-drama di TV3 dan Tonton.
Di sini, pengunjung berpeluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan artis kegemaran mereka seperti Izzue Islam, Ropie dan Siti Sisters (I Can See Your Voice Malaysia 6), Zahirah MacWilson (Tonton Original: Metro Crime Series), Afifah Nasir, Aya Amiruddin dan Mark Adam (Tonton Original: Pontianak 100KG), Ismail Izzani, Muaz Zabir dan Liza Abdullah (Akasia: Bukan Hanya Sekadar Cinta), Puteri Balqis (Lestary: Diva Seroja), Nelissa Nizam dan Aiman Wynne (Sakura: Kampung Mat Saleh) serta Adam Lee dan Sweet Qismina (Samarinda: Malam Zulaikha).
Pertandingan Cosplay pada hari Sabtu lalu telah mendapat sambutan yang luar biasa! Hampir 50 penyertaan telah diterima bagi kedua-dua kategori iaitu kategori kanak-kanak dan kategori dewasa.
Kesungguhan dan kreativiti mereka dalam memperagakan kostum karakter animasi kesukaan mereka telah mendapat pujian daripada para juri. Juara pertandingan Cosplay bagi kategori kanak-kanak dan remaja dimenangi oleh Hani Ixara yang memperagakan kostum Lily Moon sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM390.
Sementara kategori dewasa pula dimenangi oleh KingRusydi atau nama sebenarnya Raja Muhammad Rusydi Raja Mahmood dengan memperagakan kostum Scorpion dalam
Mortal Kombat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,900.
Menerusi KJH ini, pengunjung yang lahir pada bulan Jun turut berpeluang untuk bersama-sama memotong kek dan pulut kuning di atas pentas bersama-sama dengan barisan selebriti dan pihak pengurusan Media Prima iaitu Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (Pengerusi Kumpulan, Media Prima Berhad, MPB), Rafiq
Razali (Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad MPB) dan Mohd Efendi Omar (Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia).
Turut hadir, Puan Nini Yusof (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (NSTP)), Nazri Noran (Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio) dan Datin Norashikin Habibur Rahman (Ketua Pegawai Eksekutif WOWShop).
Konsert Jom Heboh yang telah berlangsung selama dua hari (Sabtu dan Ahad) lalu menjadi acara kemuncak KJH Selangor Generasi Muda. Meskipun persembahan bermula pada 9.00 malam, pengunjung sanggup menapak sejak petang demi menyaksikan persembahan daripada penyanyi-penyanyi hebat tanah
air.
Pada malam terakhir konsert, pentas utama telah dibanjiri lebih 20,000 pengunjung untuk menyaksikan persembahan Haqiem Rusli, O.V.A, Afieq Shazwan, Hariz Fayahet, Black, Hazama dan Shiha Zikir.
Persembahan mereka yang memukau itu turut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor dan YB Mohd Khairuddin Othman, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor.
Jika anda terlepas untuk berhibur bersama KJH hujung minggu yang lepas, jangan risau kerana ini barumerupakan lokasi pertama bagi tahun 2023.
KJH bakal menggegarkan lokasi-lokasi yang terpilih akan datang! Jika anda tertanya-tanya di manakah lokasi seterusnya, sila layari laman sesawang www.jomheboh.com.my dan ikuti laman sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @jomhebohofficial untuk maklumat yang lebih lanjut.