HAK KEBEBASAN BERSUARA RAKYAT DIJAMIN PERLEMBAGAAN – RAFIQUE RASHID

  • June 14, 2025
  • 2 min read
HAK KEBEBASAN BERSUARA RAKYAT DIJAMIN PERLEMBAGAAN – RAFIQUE RASHID

Kuala Lumpur, 13 Jun 2025 – Firma guaman Law Practice of Rafique hari ini menegaskan bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Yusoff Rawther daripada tuduhan mengedar ganja dan memiliki dua senjata tiruan.

Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada gesaan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang meminta orang awam agar tidak mengulas keputusan mahkamah tersebut. Firma guaman berkenaan menyatakan bahawa kenyataan AGC adalah tidak wajar dan mencerminkan usaha untuk menutup mulut rakyat daripada mencari kebenaran dan keadilan.

Menurut kenyataan itu, kes Yusoff Rawther telah menjadi perhatian umum sejak beliau ditahan pada 6 September 2024, dengan pelbagai perbincangan dan debat awam berlangsung sejak tarikh tersebut. Namun, pihak AGC hanya menggesa agar rakyat tidak bercakap tentang kes ini selepas Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff.

Mahkamah turut menyentuh tentang kegagalan dua pegawai penyiasat utama dalam menyiasat dakwaan Yusoff bahawa beliau menjadi mangsa perangkap oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Hubungan antara Anwar dan Farhash Wafa Salvador, yang juga disebut dalam prosiding mahkamah, dikatakan jelas dan bukan lagi sekadar persepsi atau spekulasi, malah turut direkodkan dalam kertas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Firma guaman Rafique mempersoalkan sama ada AGC kini cuba melindungi tokoh-tokoh berpengaruh dalam kes ini dan menyekat rakyat daripada mengetahui kebenaran. Mereka menegaskan bahawa AGC seharusnya bertindak sebagai “benteng rakyat” dan penjaga kepentingan awam, bukan menjadi penghalang kepada kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan daripada AGC ini tidak wajar kerana rakyat selaku pembayar cukai berhak untuk terus mencari keadilan dan mempersoalkan integriti badan-badan penguatkuasa serta kehakiman dalam negara,” menurut kenyataan itu.

Firma guaman tersebut juga menyeru AGC untuk terus menegakkan kedaulatan undang-undang secara adil tanpa memihak kepada sesiapa, termasuk seorang Perdana Menteri. Mereka menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa kebebasan bersuara adalah hak mutlak rakyat yang tidak seharusnya disekat oleh mana-mana pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *