Lomo Pictures Anjur Festival Filem Asia Pasifik ke-62

  • August 2, 2025
  • 2 min read
Lomo Pictures Anjur Festival Filem Asia Pasifik ke-62

Hong Kong – Festival Filem Asia Pasifik (Asia Pacific Film Festival – APFF) edisi ke-62 bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 November hingga 6 Disember 2025, dengan Lomo Pictures Sdn Bhd diumumkan sebagai penganjur rasmi acara berprestij ini.

Pemilihan itu dimuktamadkan dalam satu mesyuarat pelaksanaan bersama yang diadakan di Hong Kong pada 9 Julai lalu, melibatkan barisan kepimpinan dan delegasi APFF dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Lomo Pictures, Aron Koh, melahirkan rasa syukur dan bangga atas kepercayaan yang diberikan sekali lagi oleh pihak Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA).

“Dalam pertemuan bersama barisan delegasi FPA baru-baru ini, kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk sekali lagi menganjurkan festival berprestij ini,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa tokoh industri filem antarabangsa, termasuk:

Mr. Pansha – Setiausaha Agung FPA

Mr. Aron Koh – Pengerusi Penganjur 62APFF

TJ Chung (Korea)

Rain Yamson (Filipina)

Chandra K. Jha (India)

Subarna Thapa (Nepal)

Mr. Allan Cheung (Hong Kong, China)

Menurut Aron, edisi kali ini menjanjikan pelbagai pengisian menarik sepanjang seminggu berlangsung, termasuk tayangan filem dari pelbagai negara yang mengambil bahagian, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga serentak di negara-negara peserta APFF.

Mengulas mengenai dakwaan kemenangan seorang artis tempatan dalam satu majlis anugerah di Macau baru-baru ini, Aron menjelaskan bahawa hanya Lomo Pictures Sdn Bhd yang diberi mandat rasmi oleh FPA bagi penganjuran APFF tahun ini.

“Sekiranya ada anugerah yang diumumkan di luar penganjuran rasmi, seperti di Macau, ia tidak sah dan mungkin scam, kerana hanya Lomo Pictures yang diberi kuasa oleh FPA untuk mengendalikan festival ini,” tegas beliau.

Maklumat lanjut mengenai Festival Filem Asia Pasifik ke-62 serta barisan filem yang akan ditayangkan dijangka akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Orang ramai dan penggiat industri filem tempatan disarankan untuk mengikuti perkembangan rasmi menerusi saluran Lomo Pictures dan laman web rasmi APFF.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *