INSIDEN KEBAKARAN JINJANG SELATAN: KEGAGALAN STRUKTUR PERUMAHAN BANDAR DAN KEABAIAN KESELAMATAN AWAM

KUALA LUMPUR, 31 Januari 2026 – Saya telah turun padang ke lokasi kebakaran di kawasan penempatan setinggan Jinjang Selatan pada malam ini bagi menilai sendiri keadaan mangsa serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kesiapsiagaan dan pengurusan keselamatan di kawasan berisiko tinggi ini.

Hasil tinjauan awal di lapangan serta maklum balas yang diterima daripada penduduk dan pihak terlibat menunjukkan bahawa operasi pemadaman berdepan beberapa kekangan logistik, termasuk isu bekalan air dan akses jentera bomba di kawasan penempatan yang padat dan tidak dirancang. Perkara ini perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan kerana kelemahan sistemik sebegini boleh mengundang risiko kehilangan nyawa.

Kebakaran ini turut membuka semula persoalan berpanjangan berkaitan status penempatan setinggan di Jinjang Selatan, khususnya berhubung proses pemindahan dan penyediaan perumahan alternatif. Ramai penduduk memaklumkan bahawa mereka telah menerima notis atau janji pemindahan sebelum ini, namun sehingga kini masih belum ditempatkan di kediaman tetap yang selamat dan bersesuaian. Kelewatan berpanjangan ini menyebabkan mereka terus terdedah kepada risiko kebakaran, banjir dan masalah kesihatan awam.

Adalah penting untuk ditegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal pencerobohan tanah atau penempatan tidak formal, tetapi mencerminkan kegagalan dasar perumahan bandar yang mampan untuk golongan berpendapatan rendah di ibu kota. Penduduk setinggan tidak boleh terus dijadikan mangsa keadaan akibat ketidaktentuan dasar dan kurangnya koordinasi antara agensi.

Kejadian kebakaran ini harus dilihat sebagai satu amaran serius (wake-up call) kepada semua pihak berkuasa bahawa menangguhkan penyelesaian hanya akan mengundang tragedi yang berulang.

Selaku Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, saya mengambil pendirian dan komitmen politik yang jelas untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen Kepong dan DBKL bagi mencari penyelesaian jangka panjang agar penduduk tidak terus berada dalam keadaan tidak menentu.

Tragedi ini mengingatkan kita bahawa keselamatan, perumahan dan maruah rakyat tidak boleh dikompromi atas alasan prosedur atau kelewatan pentadbiran. Penduduk Kepong berhak kepada penyelesaian yang adil dan selamat.

TIMBALAN KETUA CABANG KEADILAN KEPONG
Jeremy Ang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *