KUALA LUMPUR – Festival Filem Pertukaran China-Malaysia Ke-3 membuka tirainya dengan penuh meriah menerusi pelbagai pengisian yang bukan sahaja meraikan dunia perfileman, malah memperkukuhkan hubungan budaya dan kerjasama industri kreatif antara Malaysia dan China.
Festival yang diterajui oleh pengasasnya, Aron Koh, dengan kerjasama Vybe Group, turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Asia Pacific International Art Festival, sekali gus membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memajukan industri kreatif serantau.


Majlis perasmian disempurnakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Festival Filem, Aron Koh, yang turut berkongsi perkembangan festival tahun ini termasuk inisiatif baharu yang membuka lebih banyak peluang kerjasama antara pemain industri kedua-dua negara.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, yang menyampaikan ucapan sebelum menerima cenderamata penghargaan daripada pihak penganjur sebagai tanda penghargaan atas sokongan FINAS terhadap festival tersebut.
Kemuncak majlis diteruskan dengan Upacara Perasmian dan Gimik Pembukaan Festival Filem Pertukaran China-Malaysia Ke-3 menerusi acara memotong reben, diikuti sesi fotografi rasmi bersama para tetamu kehormat.


Festival kali ini turut memberi penghormatan kepada tokoh industri filem menerusi Anugerah Sumbangan Pertukaran Budaya Filem Malaysia-China yang disampaikan kepada pelakon utama Yuan Teng dan pengarah filem Ko Chi Sum sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memperkukuhkan hubungan budaya melalui dunia perfileman.
Selesai majlis perasmian, para tetamu berpeluang menyaksikan tayangan perdana filem pembukaan “Kungfu Juniors” yang turut dihadiri Pengarah Ko Chi Sum serta pelakon utama Yuan Teng. Kedua-duanya kemudian menyertai sesi perkongsian bersama media dan para hadirin mengenai pembikinan filem tersebut.
Satu lagi detik bersejarah festival ialah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik 100 Drama Pendek Malaysia-China antara Vybe Group dan Lomo Pictures.
MoU berkenaan ditandatangani oleh wakil Lomo Pictures, Ryon Lee, bersama Pengerusi Vybe Group, Dr. Kervis, dengan disaksikan oleh Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dan Aron Koh. Majlis itu disifatkan sebagai permulaan kepada pembentukan ekosistem baharu dalam industri hiburan digital yang memberi tumpuan kepada pembangunan drama pendek sebagai salah satu segmen kandungan yang berkembang pesat di rantau Asia.


Dalam ucapannya, Dr. Kervis berkata, drama pendek bukan lagi sekadar satu trend, sebaliknya telah berkembang menjadi sebuah industri yang mempunyai potensi besar. Beliau berkata kerjasama strategik bersama rakan industri dari China akan membuka ruang untuk kedua-dua pihak saling berkongsi kepakaran, teknologi, pengalaman serta membangunkan lebih banyak kandungan kreatif yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Terima kasih kepada FINAS atas sokongan dan kesudian menjadi saksi kepada detik bersejarah ini. Apa yang kita tandatangani hari ini ialah permulaan kepada sebuah ekosistem hiburan yang baharu.
“Drama pendek bukan lagi sekadar satu trend. Ia kini telah berkembang menjadi sebuah industri. Melalui kerjasama dengan rakan-rakan dari China, kita berharap dapat saling belajar, berkongsi pengalaman dan mencipta sesuatu yang lebih besar bersama.
“Kami percaya masa depan industri hiburan bukan hanya bergantung kepada kandungan yang hebat, tetapi juga kepada teknologi, bakat kreatif dan komuniti yang berkembang bersama,” katanya.
Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pihak media yang memberi peluang kepada para wartawan mendapatkan maklumat lanjut mengenai hala tuju festival, kerjasama strategik yang dimeterai serta perancangan masa depan industri filem dan kandungan digital antara Malaysia dan China. Festival Filem Pertukaran China-Malaysia Ke-3 diharap terus menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala, memupuk pertukaran budaya serta membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri kreatif kedua-dua negara.



