KEJOHANAN RENANG JEMPUTAN MBPJ KE-16 HIMPUN 383 PESERTA

PETALING JAYA, 12 SEPTEMBER 2026 – Seramai 383 peserta berusia antara empat hingga
49 tahun menyertai Kejohanan Renang Jemputan MBPJ ke-16 2026 yang berlangsung di
Kompleks Kolam Renang MBPJ, Kelana Jaya, hari ini, sekali gus membuktikan sambutan
menggalakkan terhadap penganjuran aktiviti sukan renang di Petaling Jaya.
Kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Renang MBPJ itu tampil dengan nama
baharu sempena Ulang Tahun ke-20 MBPJ, selaras dengan usaha Jawatankuasa Penganjur
untuk terus menambah baik pengalaman pertandingan serta memperluas penglibatan peserta
dalam kejohanan berkenaan.


Kejohanan ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Dr. Fahmi bin Ngah, EXCO Agama Islam dan
Pembudayaan Inovasi Selangor, yang turut menyaksikan penyertaan peserta daripada
pelbagai peringkat umur dan negeri dalam edisi kali ini.


Walaupun berdepan dengan situasi jerebu, sambutan terhadap edisi kali ini kekal
memberangsangkan dengan penyertaan peserta dari Perak, Melaka, Negeri Sembilan,
Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur, menunjukkan kejohanan anjuran MBPJ bersama
Kelab Renang Stingray semakin mendapat perhatian di luar Petaling Jaya.
Sebanyak 54 acara dipertandingkan dalam kejohanan ini yang merangkumi pelbagai kategori
umur dan disiplin renang, melibatkan acara kuak lentang, kuak dada, kuak kupu-kupu dan
gaya bebas.


Antara kategori yang dipertandingkan ialah Kumpulan A Lelaki dan Wanita berusia 37 tahun ke
atas, Kumpulan B Lelaki dan Wanita berusia 19 hingga 36 tahun, Kumpulan 1 berusia 16 hingga
18 tahun, Kumpulan 2 berusia 14 hingga 15 tahun, Kumpulan 3 berusia 12 hingga 13 tahun,
Kumpulan 4 berusia 10 hingga 11 tahun serta Kumpulan 5 berusia sembilan tahun ke bawah.


Bagi memperluas penyertaan dalam kalangan kanak-kanak, terdapat juga ‘Kicking’ bagi
peserta berusia tujuh hingga lapan tahun dan ‘Kicking’ bawah enam tahun, sekali gus
memberi ruang kepada peserta cilik untuk membina keyakinan dan minat terhadap sukan
renang sejak usia muda. 2
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menguji
kemampuan dalam suasana pertandingan, malah menjadi platform untuk memupuk disiplin,
semangat kesukanan dan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Selain acara pertandingan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti santai termasuk
Plinko, Flip-a-Chick, Bola Keranjang Mini, Ring Toss dan Nerf Gun, selain gerai jualan serta
trak makanan yang menawarkan pelbagai minuman dan makanan.


Pemenang bagi setiap kategori menerima pingat, sijil penyertaan serta hadiah bagi tiga
tempat teratas sebagai penghargaan terhadap pencapaian dan semangat kesukanan yang
ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk UM Lion Dance
Troupe, MadWave, Tiger Balm, Banana Boat, Innotex, MILO, 100PLUS, Borneo Springs
Mineral Water, Inside Scoop, Champs Vitamin dan Biolyn, selain sumbangan daripada
penaja individu serta Ahli-Ahli Majlis MBPJ.
Penganjuran berterusan Kejohanan Renang Jemputan MBPJ mencerminkan komitmen Majlis
dalam menyediakan ruang kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan
dan rekreasi, di samping memperkukuh interaksi komuniti menerusi penganjuran program yang
sihat, inklusif dan berterusan.


Usaha ini selaras dengan aspirasi MBPJ untuk membentuk Petaling Jaya sebagai bandar raya
yang sihat, aktif dan inklusif, dengan menyediakan peluang kepada masyarakat daripada
pelbagai peringkat umur untuk mengamalkan gaya hidup aktif melalui aktiviti sukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *