KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menggesa kerajaan mengembalikan sistem penggantian pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja yang terus membelenggu industri restoran di negara ini.
Presidennya, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, pelaksanaan semula sistem berkenaan merupakan antara penyelesaian jangka panjang yang mampu memastikan bekalan tenaga kerja dalam sektor restoran lebih stabil, sekali gus mengelakkan pengusaha daripada terus berdepan masalah kekurangan pekerja.
Menurutnya, ketiadaan sistem penggantian menyebabkan pengusaha terpaksa membuat permohonan baharu setiap kali pekerja sedia ada pulang ke negara asal, sekali gus menyukarkan usaha mengekalkan jumlah tenaga kerja berdasarkan kuota yang diluluskan.
“Jika sistem penggantian dikembalikan, apabila pekerja pulang, kita sudah mempunyai pengganti berdasarkan kuota yang ditetapkan. Jadi, kita tidak perlu lagi membuat permohonan baharu setiap kali berlaku kekosongan.
“Selagi tiada penggantian, selagi itulah isu kekurangan pekerja akan terus berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu yang dibangkitkan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sempena Majlis Perasmian Persidangan Agung PRESMA Kali Ke-22.
Mengulas maklum balas kementerian, beliau menyifatkan reaksi positif yang diberikan sebagai perkembangan memberangsangkan dan berharap cadangan berkenaan mendapat perhatian serius kerajaan.
Katanya, sistem penggantian bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah kekurangan pekerja, malah membolehkan pengusaha merancang operasi perniagaan dengan lebih teratur tanpa perlu berulang kali melalui proses permohonan tenaga kerja baharu.
Dalam perkembangan sama, PRESMA turut menyambut baik inisiatif kerajaan mengekalkan harga minyak menerusi mekanisme kawalan harga yang disifatkan dapat membantu pengusaha restoran menguruskan kos operasi.
Menurutnya, kestabilan harga bahan api membolehkan pengusaha membuat perancangan kos dengan lebih baik, khususnya dalam usaha mengekalkan harga jualan makanan kepada pengguna.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan turut mempertimbangkan pemberian subsidi secara bersasar kepada pengusaha restoran, sebagaimana bantuan yang disalurkan kepada pihak pengilang.
“Kita tidak meminta secara berlebihan, tetapi berharap sedikit bantuan atau subsidi dapat disalurkan kepada pengusaha.
“Buat masa ini, kita menghargai langkah yang telah diambil kerajaan dan biarlah inisiatif itu berjalan terlebih dahulu kerana ia merupakan satu langkah yang baik,” katanya.
Terdahulu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atas kesudian hadir merasmikan Persidangan Agung PRESMA Kali Ke-22 serta memberi perhatian terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan oleh persatuan.
Beliau berharap komitmen yang diberikan kerajaan dapat diterjemahkan kepada tindakan dan penyelesaian konkrit, terutama dalam menangani isu kekurangan pekerja asing yang terus menjadi cabaran utama pengusaha restoran.








Komen (0)