Sangat Menyeksakan! Jemaah Masjid Bandar Teknologi Kajang tuntut disegerakan 3 perkara untuk tunai ibadah secara aman dan selesa

  • March 30, 2024
  • 3 min read
Sangat Menyeksakan! Jemaah Masjid Bandar Teknologi Kajang tuntut disegerakan 3 perkara untuk tunai ibadah secara aman dan selesa

KAJANG – Kami nak Jalan Tar! Kami nak pintu pagar kedua! Kami mahu jejantas motosikal! Itulah laungan ahli Jemaah Masjid Bandar Teknologi Kajang ketika berlangsungnya sesi sidang media bagi menzahirkan rayuan dan tuntutan kepada pihak yang berwajib bagi memastikan kesejahteraan buat penduduk setempat.


Setelah meninjau ke lokasi berkenaan, masalah utama yang dikenalpasti adalah kesesakan yang amat teruk terutamanya apabila pada waktu kemuncak dan orang ramai menunaikan solat Jumaat.

Hal ini disebabkan tiada kemudahan jalan yang sempurna dan kesesakan teruk semasa pergerakan keluar dari masjid yang hanya melalui satu pintu sahaja. Tambahan pula terdapat lampu trafik di jalan keluar menyebabkan laluan ‘bottleneck’ terjadi sehingga orang ramai terpaksa menunggu lama dan kenderaan tidak dapat bergerak seusai habis solat berjemaah di masjid itu.


Episod duka lara ini berterusan semenjak masjid tersebut dibuka secara rasmi pada 10.8.2023, namun tiada tindakan proaktif yang diambil bagi mengatasi masalah yang di alami walaupun ia sudah lama beroperasi.


Menurut Dato Nozhar, terdapat tiga isu utama melibatkan ketidak selesaan kepada Jemaah masjid iaitu isu jalan tidak bertar dan berlubang, pintu pagar untuk keluar masuk hanya dibuat satu dan ketiadaan jejantas buat penunggang motosikal terutamanya buat anak-anak muda.


Nazir Masjid menjelaskan bahawa masalah jalanraya tersebut juga dipengaruhi oleh keadaan jalan persendirian yang turut digunakan oleh kenderaan berat seperti lori yang keluar masuk lantas mengakibatkan jalan yang tidak bertar tersebut berlubang dan berselut.

Hal ini bertambah teruk apabila musim hujan yang pasti menyebabkan kenderaan Jemaah masjid terpaksa dihantar ke tempat cuci kereta dek kerana selut dan debu yang teruk.


Selain itu, debu turut berterbangan sehingga ke ruangan masjid dan ini telah mengakibatkan kesukaran yang besar kepada kariah masjid.

Terdapat juga jalan simpang empat yang amat merbahaya buat penunggang motosikal yang hadir ke masjid, justeru Jemaah masjid juga merasakan jejantas amat diperlukan supaya tiada kemalangan jiwa yang akan berlaku.


Masjid tersebut dapat menampung 900 orang Jemaah dalam perkarangan masjid dan sehingga 2300 orang di luar perkarangan masjid dalam satu masa. Permohonan rasmi juga telah dibuat oleh pihak masjid kepada pihak Jurutera JKR Daerah Hulu Langat bertarikh 09.09.2023, namun tiada jawapan rasmi yang diterima bagi menjawab permasalahan yang meruncing ini.


“Kita ada menghantar permohonan tetapi masih mendapat jawapan yang sama lah, masih dalam pertimbangan. Jadi kita harap isu ini akan diketengahkan kepada pihak atasan”, rayu Nazir masjid apabila ditanya mengenai cadangan pintu pagar kedua supaya dibina buat orang ramai.

Menurutnya lagi, pihak masjid hanya dimaklumkan secara whatsapp oleh pihak JKR Daerah mengatakan pintu kedua tidak boleh dibuat disebabkan masjid masih dalam tempoh ‘warranty’ sehingga bulan lapan pada tahun ini.


Namun begitu, pihak masjid berpandangan membuka pagar kedua tidaklah mencacatkan struktur masjid dan berharap penjelasan secara rasmi mengenai hasrat yang telah disampaikan kepada pihak berwajib akan segera dipenuhi demi keselesaan penduduk setempat. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *