SEPANG, 9 Oktober 2026 – Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 (KHUP5) membuka tirai hari ini dengan menawarkan pelbagai pakej haji daripada 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi musim haji 1448H/2027M.
Dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), karnival selama tiga hari itu berlangsung sehingga 11 Oktober 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang.
KHUP5 mengangkat tema ‘Tiada Visa, Tiada Haji’ bagi meningkatkan kesedaran umat Islam di Malaysia mengenai kepentingan memiliki visa haji yang sah serta menggunakan saluran yang diiktiraf bagi menunaikan ibadah berkenaan.

Pendekatan itu bertujuan memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran perjalanan bakal jemaah terpelihara, selain mengelakkan mereka daripada terdedah kepada risiko penipuan dan masalah ketika berada di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata bakal jemaah perlu memastikan segala urusan perjalanan haji dibuat melalui saluran yang sah dan diiktiraf.
“Bakal jemaah hendaklah memastikan segala urusan perjalanan dibuat melalui saluran yang sah dan diiktiraf bagi mengelakkan risiko penipuan serta masalah ketika berada di Tanah Suci.
“TH tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat lain sebagai ejen bagi menawarkan pakej haji melainkan 34 syarikat PJH yang dilesenkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya sentiasa berwaspada, membuat semakan dengan teliti dan mendapatkan maklumat menyeluruh daripada sumber rasmi TH serta PJH berlesen sebelum membuat sebarang bayaran atau keputusan berkaitan perjalanan haji.

Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata KHUP5 turut berperanan sebagai platform sehenti bagi pengunjung mendapatkan maklumat serta tawaran menarik berkaitan pakej umrah dan pelancongan Islamik.
Menurutnya, platform itu membantu masyarakat membuat persediaan perjalanan ibadah dan pelancongan dengan lebih teratur.
Beliau berkata sambutan terhadap penganjuran KHUP5 edisi kelima amat menggalakkan, dengan platform digital karnival itu merekodkan lebih 52,230 muat turun bahan digital melalui laman sesawang rasminya.
Bahan berkenaan merangkumi e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M dan Majalah KHUP5, selain menerima lebih 862 pra-pendaftaran secara dalam talian.
Dr. Wan Muhamad Adam berkata pendekatan digital yang diperkenalkan pada edisi kali ini turut menjadi antara penambahbaikan berbanding penganjuran terdahulu.
Kerjasama PJH dalam mempromosikan pakej masing-masing dan KHUP5 menerusi platform media sosial turut membantu memperluas capaian maklumat kepada bakal jemaah.
Selain pameran dan promosi pakej, karnival itu menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kekeluargaan dan hiburan untuk pengunjung.

Antara pengisian yang disediakan ialah Bual Bicara, Simulasi Haji Cilik dan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, selain persembahan kumpulan nasyid The Rayhan dan Rabbani serta Ezad Lazim.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan kemunculan istimewa BoBoiBoy yang menyertai kuiz interaktif dan cabutan bertuah.
Bazar Karnival yang menawarkan pelbagai makanan, minuman serta barangan berkaitan haji dan umrah turut disediakan bagi memeriahkan penganjuran tersebut.
Sebagai nilai tambah, KHUP5 turut disertai enam institusi perbankan Islam serta rakan strategik daripada sektor kesihatan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pengunjung.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk penyelesaian kewangan patuh syariah, pengurusan harta, perlindungan perjalanan, pengurusan harta pusaka dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Pengunjung juga berpeluang menelusuri sejarah perkembangan pengurusan haji di Malaysia serta menghayati pengertian di sebalik manasik ibadah haji menerusi koleksi artifak, pameran interaktif dan tayangan video di Galeri Haji yang terletak di MHCC.
Maklumat lanjut mengenai KHUP5 serta e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi khupmalaysia.com dan platform media sosial KHUP5.



