Ngirup KL Bawa ‘Rasa Bumi Kenyalang’ ke Ibu Kota, Sajian Ikonik Sarawak Jadi Tarikan Utama

KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Penggemar makanan tradisional Sarawak kini berpeluang menikmati keunikan sajian dan budaya negeri itu menerusi pembukaan Ngirup KL, sebuah restoran berkonsepkan santai yang mengetengahkan hidangan istimewa Sarawak di Jalan Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur.

Restoran yang terletak di kawasan pusat perniagaan lama Kuala Lumpur itu diperkenalkan kepada pengamal media dan tetamu jemputan menerusi sesi taklimat media serta jamuan makan tengah hari khas.

Ngirup KL diasaskan dengan matlamat menjadi lokasi pertemuan santai yang meraikan keramahan masyarakat Sarawak menerusi kepelbagaian rasa, tradisi dan budaya tempatan.

Konsep sajian restoran itu diterajui Chef Achang Libat, seorang cef kelahiran Sarawak yang dikenali dengan pendekatan kreatif dalam mengolah masakan tempatan menerusi gabungan rasa tradisional dan teknik masakan moden antarabangsa.

Berasal daripada keturunan Kayan dan Lun Bawang, Achang memulakan latihan kulinari di Kuala Lumpur sebelum meneruskan kerjayanya di Sydney, Australia.

Beliau pernah menimba pengalaman bersama beberapa premis makanan terkenal termasuk Guylian Chocolate Cafe dan Balcon by Tapavino, sebuah restoran tapas Sepanyol.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun di luar negara, beliau mengambil keputusan kembali ke Kuching pada 2019 kerana mahu mengangkat warisan kulinari masyarakat Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Walaupun membesar di Kuching, Achang mempunyai kenangan tersendiri apabila sering mengunjungi kampung keluarganya di Long Senadoh, Lawas dan kawasan Baram ketika zaman kanak-kanak.

Pengalaman membesar dalam suasana kehidupan kampung, termasuk aktiviti mencari hasil makanan bersama keluarga, menjadi antara sumber inspirasi kepada pendekatan masakannya hari ini.

Gaya kulinari Achang banyak berteraskan eksperimentasi dengan menggunakan bahan tempatan dan kisah masyarakat bagi menghasilkan pengalaman sajian yang unik serta mempunyai nilai budaya.

Beliau turut aktif dalam penganjuran pengalaman makan eksklusif, acara pop-up, kolaborasi bersama galeri seni, hotel, festival dan jenama, selain demonstrasi masakan, perkongsian ilmu serta latihan kepada usahawan industri makanan dan minuman.

Kini, beliau mengetuai Gypsy Badger di Kuching yang membawa pengalaman menjamu selera ke pelbagai lokasi termasuk galeri seni, hotel, tapak festival dan ruang alternatif dengan mengetengahkan bahan tempatan serta kolaborasi bersama penggiat seni Sarawak.

Menerusi Ngirup KL, Achang menyasarkan restoran itu menjadi antara destinasi makanan Sarawak yang dikenali di Kuala Lumpur, sekali gus menarik kunjungan pelancong dan penduduk tempatan yang ingin menikmati pengalaman gastronomi negeri tersebut.

“Kami hanya mahu memperkenalkan masakan dan budaya Sarawak. Makanan itu sendiri memang makanan, tetapi apabila kita mengetengahkannya bersama budaya, masyarakat dan keramahan orang Sarawak, ia memberikan perbezaan yang besar,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan masakannya tidak semestinya mengikut kaedah tradisional sepenuhnya, sebaliknya diinspirasikan daripada cerita kehidupan dan pengalaman membesar di Sarawak.

“Ia merupakan gabungan budaya kampung tradisional dan kehidupan bandar tanpa menghilangkan keaslian rasa serta identiti masakan Sarawak.

“Ia bukan konsep santapan mewah atau fine dining, sebaliknya lebih minimalis,” katanya.

Mengambil contoh hidangan Kolo Mee, beliau menjelaskan bahawa pendekatan eksperimental tidak bermaksud perlu menambah bahan mewah seperti kaviar atau hiasan berlebihan.

Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada penggunaan bahan asli dan alternatif tempatan yang bersesuaian bagi mengekalkan identiti hidangan berkenaan.

“Saya mahu mendidik masyarakat mengenai budaya tanpa mengeksploitasinya. Kita perlu melakukannya dengan cara yang betul supaya budaya itu dapat diangkat menerusi imaginasi dan pendekatan baharu,” katanya.

Achang turut menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah untuk memberikan nafas baharu kepada makanan Sarawak tanpa mengubah rasa, tekstur dan identiti asalnya.

Menariknya, siri pengalaman makan yang pernah diperkenalkannya di Sarawak turut menggunakan nama Re:magined.

“Saya tidak akan keluar rumah semata-mata untuk mencari masakan ibu saya. Kalau saya mahu makan masakan ibu, saya akan makan di rumah,” katanya berseloroh.

Beliau mengakui cabaran mendapatkan bahan mentah yang sama seperti di Sarawak di Kuala Lumpur, namun percaya keaslian rasa dan pengalaman masih boleh dikekalkan melalui penggunaan bahan alternatif yang sesuai.

“Di Kuala Lumpur, kita mungkin tidak dapat memperoleh 100 peratus bahan yang sama, tetapi kita masih boleh menghasilkan esen rasa yang serupa.

“Makanan perlu membuatkan seseorang merasai sesuatu, bukan sekadar mengenyangkan perut,” jelasnya.

Beliau turut berharap kehadiran Ngirup KL dapat memberikan pengalaman nostalgia kepada masyarakat Sarawak yang berada di ibu kota.

“Mana-mana orang Sarawak yang datang ke Ngirup pasti akan merasai nostalgia dan menikmati sedikit suasana kampung halaman mereka di sini,” katanya.

Ngirup KL ketengahkan konsep rumah panjang Dayak

Nama Ngirup diambil daripada perkataan dalam bahasa Iban yang membawa maksud pelawaan untuk datang menikmati minuman atau bersantai bersama.

Ungkapan itu cukup sinonim dalam kalangan masyarakat Iban dan Bidayuh, malah turut dikenali oleh pelbagai etnik lain di Sarawak.

Dari segi konsep dalaman, Ngirup KL diinspirasikan daripada rumah panjang masyarakat Dayak dengan menampilkan pelbagai hiasan yang mewakili kepelbagaian etnik dan budaya Sarawak.

Restoran itu turut merancang menambah koleksi barangan tradisional, gambar serta kisah daripada pelbagai suku kaum di Sarawak secara berperingkat.

Pendekatan tersebut menjadikan ruang restoran berkenaan sebagai satu sudut penceritaan budaya yang sentiasa berkembang, selain mewujudkan suasana mesra dan selesa seperti berada di rumah sendiri.

Menampilkan hidangan ikonik Sarawak

Antara tarikan utama Ngirup KL ialah usaha mengetengahkan makanan jalanan Sarawak dengan identiti rasa tersendiri.

Menu istimewa restoran itu termasuk Sarawak Laksa, hidangan mi suhun yang disajikan bersama kuah berempah berasaskan santan, ayam yang disiat, hirisan telur dadar, udang dan sambal.

Hidangan berkenaan menggabungkan pengaruh rasa laksa masyarakat pribumi dan masyarakat Cina di Sarawak.

Selain itu, Kolo Mee turut menjadi antara hidangan utama yang ditawarkan. Ia merupakan sajian mi telur bertekstur kenyal yang digaul bersama sos ringan dan berperisa.

Dalam sesi jamuan tengah hari khas bersama media, tetamu turut diperkenalkan kepada beberapa hidangan daripada menu sarapan istimewa termasuk Sarawak Laksa, yang pernah digambarkan sebagai ‘breakfast of Gods’ oleh cef dan penulis terkenal dari Amerika Syarikat, Anthony Bourdain.

Mee Kolo turut menjadi perhatian sebagai makanan warisan Malaysia sejak 2024.

Tidak ketinggalan, Roti Kahwin Terung Dayak yang menampilkan roti bakar gaya kopitiam dengan sapuan mentega Terung Dayak turut diperkenalkan sebagai antara sajian unik restoran itu.

Menu tradisional dan sajian kreatif Sarawak

Selain menu sarapan, Ngirup KL turut mengetengahkan menu berasaskan budaya dan bahan tempatan Sarawak.

Antara hidangan yang diperkenalkan ialah nasi putih tanah tinggi, Nasi Goreng Daun Ubi, Nasi Goreng Corned Beef, Pansuh Chicken Soup, Fish Umai dan Paku Pakis Umai.

Pansuh Chicken Soup merupakan hidangan sup ayam yang dimasak di dalam buluh bersama bahan-bahan tempatan menggunakan kaedah memasak di atas api terbuka.

Fish Umai pula menampilkan ikan tenggiri yang diperam menggunakan limau kasturi dan bahan aromatik, sebagai olahan semula hidangan klasik masyarakat Melanau.

Sementara itu, Paku Pakis Umai mengetengahkan sayur paku-pakis hutan yang digaul bersama sos umai.

Pengunjung turut boleh menikmati pilihan hidangan tapas yang merangkumi pelbagai sajian kreatif seperti aneka tempe goreng, Kantan Furikake Potato Fries, Gula Apong Chicken Karaage, Kulit Manok Goreng dengan minyak tepus, Pusuk bersama bawang serta Nara’, iaitu nugget daging kerbau salai.

Hidangan tersebut turut disertakan dengan pelbagai pilihan sos dan pencicah termasuk Fried Tempoyak, Sambal Laksa, Tepus Aioli dan Cincalok.

Sebagai pelengkap, jamuan tengah hari itu diakhiri dengan sajian pencuci mulut seperti Terung Dayak Cobbler serta Urum atau Dinuh, sejenis snek goreng kegemaran masyarakat Kenyah, Kayan dan Kelabit.

Beroperasi sehingga awal pagi

Ngirup KL beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 1 pagi pada hari biasa, manakala operasi pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Restoran itu turut merancang menampilkan persembahan muzik akustik secara langsung oleh kumpulan dua anggota dari Sarawak pada setiap malam Jumaat dan Sabtu.

Dengan gabungan sajian tradisional, kreativiti kulinari dan elemen kebudayaan, Ngirup KL berharap dapat menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang ingin mengenali serta menikmati kepelbagaian gastronomi Sarawak tanpa perlu berkunjung ke Bumi Kenyalang.

Komen (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *