Diversatech Fertilizer buka kilang baja berteknologi tinggi, nano di Sabah

  • August 12, 2022
  • 3 min read
Diversatech Fertilizer buka kilang baja berteknologi tinggi, nano di Sabah

Kuala Lumpur, 11 Ogos 2022 – Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) telah
menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd
(DFSB) untuk pembinaan kilang baja-nano (Nanofertilizer) berteknologi tinggi.

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar SLDB, YBhg. Tuan Syaheddrul R Joddari dan Ketua Pegawai Eksekutif DFSB, YBhg. Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Bung Moktar Bin Radin dan Pengerusi SLDB, YB Datuk Abd Ghani Mohd Yassin.

Menurut Pengurus Besar SLDB, MoU ini merupakan salah satu perancangan Pelan Strategik Lembaga 2022-2026 untuk memastikan Lembaga terus kekal relevan dan berdaya saing dalam memastikan objektif membangunkan masyarakat luar bandar negeri Sabah berasaskan pertanian dapat terus diperjuangkan melalui input pertanian seperti baja tanaman dapat diperolehi dengan harga yang berpatutan.

Di samping itu, ianya juga membuka ruang bagi Lembaga untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaannya melalui penjualan baja tanaman
kepada ladang-ladang dan petani-petani di negeri Sabah serta pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina.

Pembinaan kilang baja ini sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri melalui halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Pegawai Eksekutif DFSB menyatakan, berdasarkan MoU, DFSB akan melaksanakan
pembangunan kilang baja-nano ini secara bersama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) di atas tanah milik Lembaga seluas 10 ekar di Silabukan, Lahad Datu, Sabah.

Beliau juga berkata hubungan kerjasama yang erat ini dimulai dengan usahasama dalam
bidang penyelidikan mengkaji keberkesanan produk baja premium ke atas tanaman sawit
yang menggunakan Teknologi Nano keluaran Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) telah
menunjukkan peningkatan hasil yang lebih tinggi berbanding amalan biasa.

Selain itu baja teknologi nano ini juga di aplikasi hanya dua kali setahun serta efektif dalam mengurangkan serangan penyakit Ganoderma pada tanaman sawit muda.

Susulan daripada perkara berkenaan, pihak Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) telah mendapat persetujuan usahasama untuk membangunkan kilang baja yang menggunakan Teknologi Nano ini untuk dijadikan sebagai Projek Perintis dan hub pertanian dalam memasarkan produk baja ini ke seluruh kepulauan Borneo seperti negeri Sabah, Sarawak dan eksport ke luar negara antaranya Indonesia, Brunei dan Filipina.

Bagi mencapai sasaran sekuriti makanan negara, di mana rakyat dapat mengakses makanan secara fizikal dan ekonomi serta mencukupi bagi kehidupan yang sihat dan mampan.

Untuk tujuan ini, Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mempunyai kilang baja yang moden.dan dinamik bagi memenuhi keperluan baja bagi projek tanaman sawit, padi, getah, buah- buahan dan sayur-sayuran agar dapat terus memberikan hasil yang tinggi dan berkualiti bagi kegunaan dalam negeri dan eksport.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *