Drama Band dan Asfan Shah bersama Manusia bergabung dalam Konsert Malam Drama Manusia

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Peminat muzik tempatan bakal menikmati pengalaman persembahan berkonsepkan fantasi menerusi Konsert Malam Drama Manusia yang menghimpunkan Drama Band dan Asfan Shah bersama kumpulannya, Manusia, di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari 2027.

Dianjurkan Permaico Concerto, konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu bakal menampilkan gabungan dua kumpulan berkenaan dalam sebuah persembahan istimewa yang menggabungkan kepelbagaian muzik, imaginasi dan emosi.

Ketua Pegawai Eksekutif Permaico Concerto, Datuk Norshida Mohamed Ali, memberikan kepercayaan kepada kedua-dua kumpulan untuk menjayakan konsert berkenaan sebagai pengalaman muzik yang berbeza buat peminat.Vokalis Asfan Shah dan Manusia, Asfan Shah, berkata konsep fantasi yang diketengahkan bertujuan membawa penonton menyelami dunia imaginasi serta merasai pelbagai emosi sepanjang persembahan.

“Konsep konsert ini berteraskan fantasi. Kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada penonton, bukan sekadar datang untuk melihat penyanyi membuat persembahan di atas pentas.“Kami mahu penonton merasai pelbagai emosi sepanjang persembahan, daripada lagu rancak hinggalah lagu sedih dan karya yang membangkitkan perasaan bercampur baur,” katanya.

Menurutnya, konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menampilkan sekurang-kurangnya 25 lagu, merangkumi karya sendiri serta lagu yang pernah dihasilkannya untuk penyanyi lain.Lagu-lagu berkenaan akan dipersembahkan dengan susunan muzik baharu bagi memberikan kelainan kepada karya yang sudah dikenali pendengar.Asfan turut berkongsi bahawa kumpulan Manusia yang ditubuhkan pada penghujung tahun lalu telah memperkenalkan single berjudul Dusta.Kumpulan itu turut dibarisi pemuzik berpengalaman, iaitu Adam Karman dan Arash daripada Treehill, masing-masing sebagai pemain dram dan gitar, selain Zack daripada New Boyz sebagai pemain bes serta One daripada Sofazr sebagai pemain dram.

Sementara itu, vokalis Drama Band, Aepul Roza, menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Asfan sebagai pengalaman bermakna selepas mereka beberapa kali bersaing dalam pertandingan muzik sebelum ini.

“Saya dan Asfan sudah pernah bertanding di atas pentas sebanyak dua kali. Ada ketika dia menang dan ada ketika saya menang.“Jadi, peluang untuk kami bergabung dalam sebuah konsert berskala besar ini memang sesuatu yang saya hargai. Terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya Datuk Norshida, atas kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Aepul turut mengusik peminat dengan kemungkinan membuat penampilan luar biasa pada malam konsert, termasuk membotakkan kepala atau muncul menggunakan helikopter.Antara tarikan utama konsert itu ialah segmen khas yang menyaksikan kedua-dua kumpulan bergabung dan bermain muzik secara serentak di atas satu pentas.

Gabungan berkenaan bakal menampilkan dua pemain dram, tujuh pemain gitar dan dua vokalis, sekali gus menawarkan dimensi persembahan berbeza berbanding penampilan mereka secara berasingan.Idea menggabungkan kedua-dua kumpulan itu dicetuskan oleh pihak penganjur.

Persamaan dari segi penghasilan lagu yang sering menjadi runut bunyi drama tempatan turut menjadi antara faktor yang mengukuhkan konsep Konsert Malam Drama Manusia.Konsert itu diharap dapat menghimpunkan peminat kedua-dua kumpulan menerusi persembahan yang bukan sahaja menampilkan lagu popular, malah memberikan ruang kepada pemuzik mengetengahkan karya dalam pendekatan muzik berbeza.Bagi melengkapkan pengalaman peminat, barangan cenderamata eksklusif turut dirancang untuk ditawarkan pada hari konsert.

Tiket dan promosi Tiket Konsert Malam Drama Manusia kini boleh didapati menerusi platform Ticket2U di laman web rasmi “Ticket2u.com.my” (https://www.ticket2u.com.my/).

Peminat boleh menikmati diskaun 15 peratus untuk semua tiket kategori berdiri (standing) bagi pembelian sehingga 23 Oktober 2026.

Peminat disarankan mendapatkan tiket menerusi saluran rasmi berkenaan bagi menyaksikan persembahan pada 15 Januari 2027.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *