PETALING JAYA, 5 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli melawat Denai Hijau @ Lengkok Golf SS7, Kelana Jaya sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 (GRS 2.0).

Keberangkatan tiba baginda bersama Yang Mulia Datin Paduka Seri Afza Fadini binti Dato’ Abdul Aziz telah disambut oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya serta barisan pengurusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).Lawatan tersebut mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap usaha pembangunan komuniti dan pemerkasaan ruang awam yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Denai Hijau @ Lengkok Golf SS7 merupakan cadangan projek pembangunan koridor hijau bandar yang melibatkan kerja menaik taraf kawasan rizab saliran monsun (monsoon drain) di Jalan SS7/19 kepada ruang rekreasi komuniti yang lebih aktif, selamat dan mesra pengguna.Cadangan pembangunan itu merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki dan jogging track sepanjang kira-kira 400 meter, penyediaan ruang santai komuniti, pemasangan pencahayaan serta elemen keselamatan, di samping mengekalkan ekosistem semula jadi dan habitat biodiversiti sedia ada.
Projek ini dilaksanakan berteraskan konsep placemaking, iaitu pendekatan kolaboratif dalam mereka bentuk dan mengurus ruang awam dengan mengambil kira keperluan, aspirasi serta identiti komuniti setempat.Pendekatan tersebut turut memberi penekanan kepada penglibatan komuniti dalam mewujudkan ruang yang lebih inklusif dan berfungsi untuk kegunaan bersama.Bagi memastikan cadangan pembangunan memenuhi keperluan penduduk, satu sesi libat urus bersama komuniti setempat telah diadakan pada 19 April 2026 di The Spine @ PJ Kita, Kelana Jaya.
Sesi berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas komuniti terhadap cadangan reka bentuk projek selain memupuk rasa pemilikan dalam kalangan penduduk selaras dengan prinsip people-centric dan participatory planning.Cadangan awal projek turut dibentangkan oleh pensyarah Perancangan Bandar, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Raja Norashekin binti Raja Othman yang mengetengahkan pendekatan pembangunan bandar berasaskan kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.Projek Denai Hijau ini dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2026 dan bakal menjadi antara inisiatif MBPJ dalam memperkukuh agenda pembangunan bandar mampan serta berorientasikan komuniti.



