FELDA-Perkeso Perkukuh Perlindungan Sosial, Lebih 120,000 Peneroka Bakal Terima Manfaat

KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Lebih 120,000 peneroka FELDA berpeluang mendapat akses kepada perlindungan keselamatan sosial, manakala anak-anak peneroka pula bakal menerima lebih banyak peluang pekerjaan menerusi kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Kerjasama itu direalisasikan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak, merangkumi tujuh inisiatif utama bagi memperkukuh kebajikan warga FELDA, peneroka dan komuniti di bawah ekosistem FELDA.

Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Bin Aziz Mohammed, berkata antara fokus utama kerjasama berkenaan ialah memperluaskan pendaftaran dan caruman PERKESO kepada warga kerja FELDA serta semua subsidiari FELDA.

Menurut beliau, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai produk baharu LINDUNG 24 Jam, yang menyediakan perlindungan kepada individu sepanjang masa.

“Antara intipati pertama ialah pendaftaran dan caruman untuk semua anggota ataupun kakitangan FELDA dan juga semua subsidiari FELDA. Kita juga melihat bagaimana kita boleh memberi penerangan dan kesedaran tentang produk baharu iaitu LINDUNG 24 Jam,” katanya.

Lebih penting, beliau berkata kerjasama itu turut membuka peluang untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan peneroka yang sebahagiannya merupakan individu bekerja sendiri dan mungkin tidak mempunyai perlindungan insurans persendirian.

“Kita mempunyai lebih daripada 100,000 peneroka yang mungkin tidak mempunyai sebarang perlindungan ataupun tidak mampu untuk membeli insurans swasta,” katanya.

Menurutnya, menerusi perlindungan di bawah skim keselamatan sosial untuk golongan bekerja sendiri, peneroka boleh mendapat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian, sekali gus membantu menjamin sumber pendapatan keluarga.

Beliau berkata perkara itu turut mengambil kira bantuan geran caruman yang disediakan kerajaan bagi golongan bekerja sendiri, sekali gus membuka ruang untuk perlindungan berkenaan diperluaskan kepada peneroka.

Selain perlindungan sosial, aspek peluang pekerjaan untuk anak-anak peneroka turut menjadi antara agenda utama dalam kerjasama berkenaan.

Katanya, sebanyak 317 tanah rancangan dan pejabat rancangan FELDA boleh dimanfaatkan bagi memperkenalkan portal MYFutureJobs, membolehkan anak-anak peneroka mendaftar sebagai pencari kerja, mendapatkan maklumat kekosongan jawatan serta menerima bantuan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Jadi mereka boleh mendaftar, mereka boleh dibantu untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

PERKESO turut akan menggerakkan jaringan rakan strategik bagi membantu komuniti FELDA mendapatkan maklumat serta sokongan berkaitan tuntutan dan perkhidmatan keselamatan sosial.

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata FELDA merupakan entiti penting dan kerjasama itu menjadi antara usaha strategik PERKESO untuk memperluaskan capaian perlindungan sosial kepada komuniti yang lebih besar.

Dalam pada itu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata kerjasama tersebut amat signifikan memandangkan FELDA mempunyai komuniti peneroka yang besar, selain hampir 70,000 petugas dalam ekosistemnya.

Beliau berkata keseluruhan komuniti peneroka FELDA kini melebihi tiga juta orang, manakala jumlah peneroka pula lebih 120,000 orang.

“Walaupun peneroka kita lebih daripada 120,638, kita mempunyai komuniti peneroka lebih daripada tiga juta dan petugas kita hampir 70,000 orang,” katanya.

Kerjasama bersama PERKESO itu turut dilihat bertepatan dengan sambutan 70 tahun FELDA, khususnya dalam memperkukuh aspek kebajikan dan perlindungan sosial warga FELDA.

Pada masa sama, Tan Sri Ahmad Badri turut menekankan kepentingan nilai dalam kalangan warga kerja FELDA menerusi lima nilai yang dirangkumkan dalam akronim MIGHT.

Menurut beliau, lima nilai itu penting sebagai pegangan warga FELDA dalam melaksanakan tanggungjawab dan memastikan organisasi terus bergerak ke hadapan.

Beliau berkata nilai berkenaan merangkumi aspek nilai, integriti, kegigihan, hormat-menghormati serta semangat saling membantu.

Penekanan terhadap nilai tersebut turut dizahirkan menerusi penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, yang menyaksikan seramai 129 warga kerja FELDA menerima pengiktirafan atas kecemerlangan perkhidmatan masing-masing.

Tan Sri Ahmad Badri berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen warga kerja FELDA yang terus memberikan perkhidmatan terbaik, selain menjadi dorongan untuk mereka mengekalkan prestasi dan mencapai pencapaian lebih tinggi pada masa akan datang.

Kerjasama FELDA dan PERKESO itu dijangka menjadi platform penting dalam memperluaskan perlindungan keselamatan sosial, membuka laluan pekerjaan kepada generasi baharu peneroka serta memperkukuh sokongan kebajikan kepada komuniti FELDA secara keseluruhannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *