Forum Malaysia Brunei 2023 Medan Perkongsian Ilmu, Fokus Isu Asia Tenggara

  • December 17, 2023
  • 3 min read
Forum Malaysia Brunei 2023 Medan Perkongsian Ilmu, Fokus Isu Asia Tenggara

Kuala Lumpur – Sebuah Persidangan Antarabangsa, Forum Malaysia Brunei 2023 telah dianjurkan pada 13 dan 14 Disember 2023 hasil kerjasama antara Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darulsalam (UBD).

Forum ini merupakan perhimpunan akademik yang julung kali diadakan dan berlangsung selama dua hari di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM).

Seramai 43 orang ahli akademik yang merangkumi pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah di kedua-dua buah universiti telah menyertai forum ini.

Matlamatnya adalah untuk membuka peluang kepada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari kedua-dua universiti—UM dan UBD— untuk mempamerkan kajian penyelidikan mereka sekaligus membangunkan serta mengukuhkan rangkaian sosial di antara kedua institusi berkenaan.

Selain itu, matlamat forum ini juga adalah untuk menggalakkan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua universiti, khususnya dalam bidang penerbitan jurnal antarabangsa di masa hadapan.

Mengangkat “Resilience and Transformation: Navigating Contemporary Challenges in Southeast Asia” sebagai tema forum, intipati program ini adalah berkisar mengenai perbincangan isu-isu kontemporari di Asia Tenggara.

Sub tema yang menjadi fokus perbincangan dalam forum ini termasuklah sub tema Warisan Budaya, Masyarakat dan Tamadun; Pembangunan Lestari dan Kesejahteraan Sosial; Media, Komunikasi dan Inovasi; dan Politik, Tadbir Urus dan Pengantarabangsaan Forum ini dijangka dapat mengeratkan hubungan sosial antara kedua-dua universiti dan harus dikekalkan pada masa hadapan untuk dijadikan model kepada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah sebagai medan perkongsian ilmu dan penyelidikan serta platform untuk bertukar pendapat dan pengalaman dalam pembelajaran.

Tambahan lagi, forum ini juga dapat dijadikan medium untuk berkongsi maklumat mengenai kajian penyelidikan bersama dengan ahli komuniti di seluruh dunia.

Ia juga selaras dengan visi UM sebagai universiti bertaraf global yang dapat memberikan impak pada dunia dan misi UM iaitu melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.

Sementara itu, program ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan), Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya selaku Pengerusi dan Penganjur Program Malaysia Brunei Forum (MBF 2023) iaitu Prof. Madya Dr. Helena Muhamad Varkkey manakala ucaptama majlis disampaikan oleh YBrs. Profesor Emeritus Dr. Ranjit Singh a/l Darshan Singh. Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaya, Puan Megawati binti Karim, Timbalan Pengarah Pendidikan, Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam.

Wakil penaja utama forum ini iaitu Encik Ahmad Syukry Ibrahim dari Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd adalah antara barisan tetamu VVIP yang dijemput hadir ke forum ini.

Dalam pada itu, satu majlis makan malam dan ramah mesra turut dianjurkan dalam persidangan ini.

Buat pengetahuan semua, forum ini telah diadakan secara berkala iaitu pada setiap dua tahun sejak 2014 lagi dan persidangan ini dianjurkan secara bergilir buat kedua buah negara.

Forum Malaysia Brunei 2023 ini adalah kali kelima penganjurannya buat tahun ini dan diharap usaha kolaboratif yang berterusan ini dapat memberi manfaat yang besar buat semua pihak yang terlibat.

Semoga jalinan hubungan antara kedua buah negara terus diperkukuhkan serta kefahaman dan kepakaran dalam kerangka hubungan sosial dan kemanusiaan dapat disemai dan disuburkan di antara pensyarah, penyelidik dan calon pascasiswazah dari kedua-dua buah universiti. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *