JWP Wartakan Empat Lagi Kawasan Hijau dan Lapang di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengumumkan pewartaan tambahan melibatkan empat lagi kawasan hijau dan tanah lapang awam di ibu negara sebagai usaha berterusan memelihara ruang komuniti untuk kegunaan penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pengumuman terbaharu itu dibuat kurang tiga minggu selepas pewartaan 45 kawasan hijau dan lapang di Kuala Lumpur pada 15 April lalu.Menurut beliau, dengan tambahan empat kawasan baharu itu, jumlah keseluruhan kawasan hijau dan lapang yang berjaya diwartakan kini meningkat kepada 543 kawasan.

Empat tapak yang diwartakan melibatkan dua kawasan lapang di Jalan Damai Puspa, Alam Damai selain taman permainan dan dewan komuniti di Persiaran Lemak, Taman Segar, Cheras.Katanya, kawasan tersebut telah lama digunakan penduduk setempat sebagai ruang awam dan kemudahan komuniti.

“Pewartaan ini penting bagi memastikan kemudahan sedia ada terus kekal sebagai ruang awam untuk kegunaan rakyat khususnya di kawasan bandar padat seperti Taman Segar,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pewartaan tersebut juga merupakan antara permohonan yang telah lama dibawa oleh penduduk setempat bagi memastikan kawasan berkenaan terus dipelihara sebagai kemudahan awam dan komuniti.Sebelum ini, sebanyak 494 kawasan telah diwartakan pada 5 Februari 2026 sebelum tambahan 45 kawasan lagi diumumkan pada April lalu.

Orang awam boleh menyemak senarai penuh kawasan yang telah diwartakan melalui portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *