MCMC Perkasa Kesedaran Internet Selamat Dalam Kalangan Pelajar Di Parlimen Hang Tuah Jaya

Hang Tuah Jaya, 9 Mei — Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menghadiri program Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang diadakan sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Hang Tuah Jaya.

Program tersebut melibatkan penyertaan pelajar sekolah bersama ibu bapa dari sekitar Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka dengan fokus utama terhadap pemerkasaan literasi digital komuniti, khususnya berkaitan perlindungan keluarga dan pencegahan jenayah siber.Menurut MCMC, kempen pada tahun ini turut memberi penekanan terhadap ancaman penipuan kewangan dalam talian atau scam, terutama dalam kalangan komuniti akar umbi dan warga emas.

Selain itu, kempen berkenaan juga memfokuskan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta kemahiran ibu bapa dalam mengawal penggunaan internet anak-anak melalui fungsi kawalan ibu bapa (parental control) pada peranti digital.

Melalui pendekatan “Youth-to-Community” (Belia kepada Komuniti), barisan pemimpin pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah menjalani latihan Training of Trainers (ToT) dilantik sebagai fasilitator advokasi strategik.

Pendekatan tersebut dilihat mampu merapatkan jurang generasi dalam aspek literasi digital selain membantu menyampaikan modul kesedaran internet selamat secara terus kepada masyarakat setempat.

Setakat ini, kempen advokasi Internet Selamat telah berjaya menyantuni 438 komuniti di seluruh negara termasuk 25 komuniti di negeri Melaka.MCMC turut menyasarkan peluasan inisiatif tersebut kepada 200 kempen bersasar bersama komuniti di setiap negeri menjelang akhir tahun 2026.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Yang Berusaha Encik Nik Kamaruzaman bin Nik Husin; Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Haji Bukhari Yahya; serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *