KEDAH NITE 2026 Angkat Warisan dan Penyatuan Anak Kedah di Pentas Diraja

KUALA LUMPUR, 14 Januari 2026 – Persatuan Rantauan Warisan Kedah (WARIS KEDAH) hari ini mengumumkan penganjuran sebuah acara berprestij bertaraf diraja, KEDAH NITE 2026, yang bakal berlangsung pada 14 Februari 2026 di MATRADE Hall, Bangunan MATRADE, Kuala Lumpur, bermula jam 6.30 petang.


Majlis Santapan Diraja ini dianjurkan sebagai platform strategik untuk mengangkat warisan Kedah serta menyatukan anak-anak Kedah yang berjaya di pelbagai sektor termasuk kepimpinan negara, perkhidmatan awam, korporat, perniagaan, seni dan budaya dalam satu wadah eksklusif berkonsepkan jaringan dan kolaborasi jangka panjang.


Majlis ini turut menyembah perkenan DYTM Raja Muda Kedah dan YTM Tunku Mahkota Kedah untuk berangkat hadir, manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dijangka mencemar duli berangkat menyerikan majlis.


Antara tetamu kenamaan yang diundang termasuk YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YAA Tan Sri Peguam Negara, YDH Tan Sri Ayub Khan Mydin Pitchay, selain pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, tokoh korporat terkemuka serta personaliti berjaya kelahiran Kedah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, tokoh tersohor kelahiran Kedah yang menjadi Penaung KEDAH NITE 2026.


Platform Penyatuan & Kolaborasi Strategik
Menurut Dato’ Sri Zaienal Abidin Omar, Pengerusi Penganjur KEDAH NITE 2026, penganjuran majlis ini bertujuan menyediakan ruang berprestij bagi menyatukan kepimpinan dan tokoh berpengaruh anak Kedah untuk memperkukuh jaringan, pertukaran idea serta kerjasama strategik.
“KEDAH NITE 2026 bukan sekadar sebuah majlis santapan diraja, tetapi satu platform penting untuk memperkasa identiti warisan Kedah serta menggalakkan sumbangan berterusan anak Kedah terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata, majlis ini turut menyahut titah DYMM Tuanku Sultan Kedah agar anak-anak Kedah yang berada di perantauan kembali menyumbang kepakaran, pengalaman dan pengaruh masing-masing demi kemajuan negeri asal.


Atur Cara Diraja dan Persembahan Budaya
Majlis yang bertemakan “Black Tie” bagi lelaki dan “Glamour Dress” bagi wanita ini akan bermula dengan sesi pendaftaran, koktel serta jaringan perniagaan pada jam 6.00 petang, diikuti solat Maghrib pada jam 7.15 malam.


Ketibaan tetamu kenamaan dijadualkan bermula jam 8.00 malam, diikuti keberangkatan YTM Tunku Mahkota Kedah pada jam 8.10 malam, DYTM Raja Muda Kedah pada jam 8.20 malam dan kemuncak majlis dengan keberangkatan tiba DYMM Tuanku Sultan Kedah pada jam 8.30 malam.
Majlis Santapan Diraja akan dimulakan pada jam 9.00 malam selepas nyanyian Lagu Negeri Kedah dan Lagu Negaraku, diiringi persembahan kebudayaan serta nyanyian. Majlis diteruskan dengan ucapan rasmi, persembahan artis, sesi santai serta penyampaian Anugerah Khas sebelum keberangkatan pulang DYMM Tuanku Sultan Kedah dan Sultanah Kedah pada jam 10.30 malam.
Majlis dijangka bersurai pada jam 11.00 malam.


Pengesahan Kehadiran
Waris Kedah yang ingin menghadiri majlis ini diwajibkan membuat pengesahan kehadiran (RSVP) selewat-lewatnya 31 Januari 2026 dengan menghubungi pihak penganjur melalui WhatsApp bagi mendapatkan kad jemputan rasmi.
Hanya tetamu yang telah mengesahkan kehadiran dan menerima kad jemputan rasmi sahaja dibenarkan memasuki Dewan Santapan. Pihak penganjur berhak menolak kemasukan tanpa pengesahan bagi memastikan kelancaran majlis serta pematuhan protokol.
KEDAH NITE 2026 dijangka menjadi acara tahunan berimpak tinggi yang memperkukuh perpaduan, memartabatkan warisan Kedah serta mengangkat peranan anak Kedah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *