Kereta langgar penghadang air, terjerumus lubang kabel bawah tanah
PETALING JAYA: Sebuah kereta dipandu seorang wanita bersama anak lelakinya melanggar penghadang air dan terjerumus dalam kawasan baik pulih kabel bawah tanah dalam kemalangan di sepanjang Jalan AU3 Setiawangsa, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kereta itu mendarat di kawasan yang digali untuk kerja-kerja pembaikan kabel bawah tanah.
“Akibat pelanggaran itu, wanita terbabit dan anaknya tidak mengalami kecederaan dan kenderaan mangsa kemudian ditunda keluar dari kawasan pembaik pulih.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen RULE 10 LN 166/59 iaitu tidur semasa memandu atau lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik dan kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi balai polis trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69,” katanya.