Pelitup muka tidak wajib di dalam pesawat, berkuat kuasa serta merta

  • September 28, 2022
  • 1 min read
Pelitup muka tidak wajib di dalam pesawat, berkuat kuasa serta merta

PETALING JAYA: Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam kapal terbang berkuat kuasa serta-merta, umum Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Khairy berkata Kementerian Kesihatan masih menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di dalam pesawat jika berisiko tinggi, mengalami sebarang gejala Covid-19, atau melancong dengan individu berisiko tinggi seperti kanak-kanak atau orang tua.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat susulan penilaian risiko dan penambahbaikan kepada pengudaraan dalam kabin pesawat.

Menurutnya, pesawat juga mempunyai penapis ‘high-efficiency particulate absorbing’ (HEPA) yang dipasang untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara dan menjalani proses pembasmian kuman yang lebih kerap pada masa ini.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat memandangkan beban kes Covid-19 yang rendah pada sistem penjagaan kesihatan awam ketika ini.

“Kelonggaran ini juga selaras dengan cadangan kesihatan daripada Kesatuan Eropah, UK, AS, Australia, New Zealand dan Singapura.”

Bagaimanapun, keperluan memakai pelitup muka dalam pesawat adalah bergantung kepada peraturan yang ditetapkan oleh negara lain.

Terdahulu, Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan tempat tertutup. Namun demikian, pemilik premis masih mempunyai hak untuk memutuskan sama ada pelanggan mereka perlu memakainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *