Majlis Penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2023
13 April 2023-MBI telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Tahun 2023 secara langsung melalui ‘Facebook’ di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI pagi tadi.
Y.Bhg. Dato’ Rumaizi bin Baharin@Md Daud, Datuk Bandar Ipoh hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian 10 cabutan bertuah hadiah utama Cukai Taksiran MBI Tahun 2023. Sebelum itu, Y.Bhg. Dato’ Azizul Kama bin Abd Aziz, Ahli Majlis MBI telah mencabut 8 cabutan bertuah, Clr. Encik Ng Haen Vee, Ahli Majlis MBI mencabut 7 cabutan bertuah manakala Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya pula mencabut 5 lagi cabutan bertuah.
Ia turut dihadiri oleh Clr. Encik Wong Kar Keat, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis MBI, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Pada tahun ini, pihak Majlis telah menawarkan 230 hadiah-hadiah yang menarik berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM76,000 untuk dimenangi oleh wargakota yang bertuah dengan hadiah utama bernilai RM20,000.00. Ini merupakan tahun ketiga pihak Majlis menawarkan hadiah secara wang tunai.
Sehingga 28 Februari 2023 iaitu tarikh tutup penyertaan cabutan bertuah ini, sebanyak 141,283 bil telah dibuat pembayaran setahun yang mencatatkan jumlah bayaran lebihan sebanyak RM 34.16 juta. Manakala bagi kutipan hasil keseluruhan pula telah mencatatkan jumlah sebanyak RM90.0 juta berbanding RM83.0 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.
Pada 5 April 2023 yang lalu, pihak Majlis telah melaksanakan 230 cabutan bertuah secara digital bagi mengetahui wargakota yang berjaya menjadi pemenang dan pada pagi tadi pihak Majlis telah mengadakan cabutan khas sekali lagi sebanyak 30 cabutan bagi menentukan pemilik hadiah-hadiah utama yang ditawarkan.
Pembayaran ini adalah tanda-tanda positif wargakota menyambut baik Bil Setahun Cukai Taksiran yang diperkenalkan serta Cabutan Bertuah yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh.
Semoga program ini akan dapat memberi penghargaan kepada wargakota Ipoh yang telah menjalankan tanggungjawab serta berharap sokongan padu yang berterusan dari wargakota kepada Majlis akan membantu merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bandaraya Bestari Sejahtera.