Photo credit: MKU & SP IDEAL EVENT CREATION
KUALA LUMPUR: Malaysia Movie Fan Club (MMFC) dilancarkan dalam satu majlis yang menghimpunkan wakil media, peminat serta penggiat industri filem dan hiburan, sekali gus menjadi platform baharu dalam usaha memperkukuh hubungan antara peminat, artis, media dan komuniti seni tanah air.
Majlis tersebut turut dihadiri tetamu istimewa Dato’ Seri G (DSG), pengasas Dancing Raja Studio, serta penganjur majlis, Dr. SP. Praba, pengasas MKU Malaysia Kalai Ulagam, selain wakil daripada pelbagai agensi media.


Dalam ucapannya, Dr. Praba merakamkan penghargaan kepada Dato’ Seri G (DSG) atas kesudian bersama pihak media dan menyokong usaha penubuhan MMFC.
Menurut beliau, sokongan media amat penting dalam memastikan perkembangan aktiviti berkaitan filem, seni dan industri kreatif dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih meluas.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan peminat dalam menyokong perkembangan industri hiburan, khususnya dalam menghubungkan artis, penggiat filem, media dan masyarakat.


Sementara itu, Dato’ Seri G (DSG) mengucapkan tahniah atas penubuhan MMFC yang diasaskan dan diterajui oleh Dr. SP. Praba, Beliau menyifatkan usaha Dr. SP. Praba dalam memperkasakan bidang seni, khususnya membantu pelakon dan artis serta menyokong perkembangan dunia kesenian dan industri hiburan di Malaysia, sebagai satu inisiatif yang amat dialu-alukan.
“Kita tentunya berasa amat berterima kasih dan berbesar hati atas inisiatif yang telah dilaksanakan ini. Saya juga berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama dengan semua yang hadir pada hari ini untuk menyambut dan menyaksikan pelancaran Malaysia Movie Fan Club,” katanya. Menurut Dato’ Seri G (DSG), penubuhan MMFC berpotensi menjadi platform yang menghimpunkan peminat, artis, penggiat seni, pelakon dan pihak media, selain membuka lebih banyak ruang kerjasama serta peluang untuk memajukan industri seni dan hiburan tanah air.

“Peminat dan fan club memainkan peranan yang sangat penting. Sokongan daripada peminat tempatan dapat membuka lebih banyak peluang untuk menjalinkan hubungan antara Malaysia dengan komuniti antarabangsa,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, MMFC turut dilihat berpotensi menjadi platform bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat, latihan dan aktiviti yang memberi pendedahan kepada golongan muda terhadap bidang media, filem serta industri kreatif.
Dr. SP.Praba berkata, pihaknya bersedia menyediakan peluang latihan kepada individu yang berminat bagi membantu mereka membina kemahiran dan mendapatkan pengalaman dalam bidang berkenaan.
Beliau turut menyentuh mengenai usaha memperkukuh hubungan dengan institusi serta organisasi berkaitan filem dan industri kreatif, selain membuka lebih banyak ruang kerjasama pada masa akan datang.
Majlis pelancaran turut disusuli dengan jamuan makan tengah hari bersama wakil media dan penyokong sebagai sebahagian daripada usaha mengeratkan hubungan antara pihak penganjur, komuniti media dan peminat.
Pelancaran MMFC dilihat sebagai satu langkah awal dalam usaha menghimpunkan peminat filem dan hiburan di Malaysia dalam sebuah platform yang lebih tersusun, di samping membuka ruang kepada lebih banyak aktiviti, kerjasama dan pembangunan bakat dalam industri kreatif.
Pihak penganjur berharap MMFC dapat berkembang sebagai sebuah komuniti yang bukan sahaja menghimpunkan peminat, malah menjadi penghubung antara media, artis, penggiat industri dan masyarakat.
– UTV Media Malaysia



