SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN — Malaysia Young Star Award 2026 (MY STAR AWARD) bakal mencipta sejarah menerusi penganjuran Majlis Penganugerahan julung kali yang akan diadakan pada bulan November 2026 di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan, khusus bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa anak Malaysia yang berusia diantara 8 hingga 18 tahun.

Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Inovasi Cemerlang (PIC) dengan kerjasama daripada JC Scope Marketing ini menghimpunkan penerima Anugerah MY STAR AWARD 2026 yang terdiri daripada pemegang rekod dunia, pemegang rekod Asia serta pencapaian pingat di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan pelbagai peringkat lain dalam bidang masing-masing, melibatkan belia dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Pada majlis yang sama, MYSTARPEDIA – Young Achievers of the World, sebuah buku biografi edisi pertama, akan diperkenalkan bagi mendokumentasikan pencapaian serta kisah sebenar perjalanan anak-anak muda ini dalam menghadapi cabaran, pengorbanan dan usaha sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia sebagai penghargaan menyeluruh, ibu bapa penerima MY STAR AWARD turut akan diberikan pengiktirafan atas peranan, bimbingan dan pengorbanan mereka dalam mendidik serta menyokong kejayaan anak-anak.

Inisiatif ini merupakan satu usaha daripada Pengasas MY STAR AWARD, YBrs. Tuan G. Jaichandaran Gopala, dalam menyokong pembangunan belia negara melalui pengiktirafan, dokumentasi dan pembinaan legasi generasi muda yang cemerlang.
Usaha tersebut turut mendapat sokongan dan pujian daripada Yang Mulia Dato’ Paduka Seri Amb. Dr. Hasnizal Haji Hassan, Honourary Vice Chairman, Asia Pacific Top Excellence Brand Committee (APC). MY STAR AWARD 2026 diharapkan menjadi platform berprestij untuk meraikan kejayaan anak-anak Malaysia serta menjadikan kisah mereka sebagai inspirasi kepada generasi muda dan legasi kecemerlangan negara pada masa depan.




