Susulan penyekatan akses sistem pengurusan peruntukan MyKhas terhadap tiga Ahli Parlimen Kerajaan, iaitu YB Wong Chen (Subang), YB Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan YB Rodziah Ismail (Ampang), saya berpandangan bahawa isu ini perlu dilihat sebagai persoalan reformasi institusi dan keadilan kepada rakyat, bukan sekadar pertikaian politik.
Pada masa yang sama, wakil rakyat pembangkang masih dinafikan hak untuk mendapatkan peruntukan pembangunan kawasan.
Ini menunjukkan bahawa kita masih gagal melaksanakan prinsip peruntukan yang adil dan saksama kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik, sedangkan perkara tersebut merupakan antara komitmen Pakatan Harapan dalam Tawaran Harapan PRU-15.
Komitmen ini bukan sekadar janji politik. Ia merupakan sebahagian daripada semangat reformasi yang telah diperjuangkan oleh Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya yang kini sebagai parti pemerintah kerajaan persekutuan. Prinsip ini wajar diterjemahkan dalam pentadbiran.
Jika peruntukan boleh disekat atau ditarik balik berdasarkan pendirian politik seseorang Ahli Parlimen, maka kita bukan sahaja gagal memenuhi janji reformasi, malah mengekalkan budaya politik yang sepatutnya kita ubah.
Harus ditegaskan bahawa Ahli Parlimen kerajaan atau backbencher juga mempunyai tanggungjawab dan amanah daripada rakyat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.
Peruntukan kawasan tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum Ahli Parlimen yang kritikal terhadap kerajaan.
Dalam konteks ini, adalah bahaya sekiranya peruntukan kawasan boleh disekat atau ditarik balik berdasarkan budi bicara politik Perdana Menteri.
Perbezaan pendirian atau kritikan terhadap kerajaan adalah sebahagian daripada demokrasi, iaitu mekanisme semak dan imbang yang sihat dalam memastikan kuasa eksekutif sentiasa dipertanggungjawabkan.
Lebih membimbangkan, terdapat keadaan di mana individu atau wakil parti yang tidak mempunyai mandat daripada rakyat dilantik oleh kerajaan untuk menguruskan dana yang pada asalnya bertujuan memenuhi keperluan pembangunan kawasan.
Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dari segi tadbir urus, malah boleh bercanggah dengan semangat demokrasi yang meletakkan mandat rakyat sebagai asas kepada perwakilan politik.
Oleh itu, saya berpandangan bahawa sistem Peruntukkan Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund, CDF) yang bergantung kepada budi bicara politik perlu direformasi.
Daripada terus menjadikan CDF sebagai alat politik, Kerajaan Madani wajar menggantikannya dengan satu mekanisme pembangunan kawasan yang telus, berasaskan keperluan, mempunyai garis panduan yang jelas dan boleh diaudit.
Permohonan pembangunan perlu dinilai berdasarkan keperluan rakyat dan kriteria yang ditetapkan, serta disalurkan melalui agensi kerajaan yang berkaitan tanpa campur tangan politik.
Ini bukan sesuatu yang baharu. Mekanisme seperti ini telah lama diamalkan dalam pelbagai negara demokrasi yang matang, di mana pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan berdasarkan keperluan, kriteria dan garis panduan yang jelas, bukannya berdasarkan kecenderungan politik kawasan tersebut.
Dengan mekanisme seperti ini, tiada lagi persoalan mengapa sesuatu kawasan menerima peruntukan manakala kawasan yang lain dinafikan.
Natijahnya, Reformasi sebenar bukan sekadar menukar siapa yang memegang kuasa, tetapi mengubah sistem supaya kuasa tidak lagi boleh disalahgunakan.
Kerajaan Madani harus mengambil peluang untuk membina satu sistem yang lebih baik, supaya tiada lagi kerajaan pada masa hadapan boleh menggunakan peruntukan pembangunan sebagai alat untuk memberi ganjaran kepada penyokong atau menghukum pengkritik.
Apa yang kita anggap salah ketika berada di luar kerajaan, tidak seharusnya kita pertahankan apabila berada di dalam kerajaan.
Kerajaan Madani bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan bahawa prinsip Malaysia Madani, reformasi dan tatakelola yang baik bukan sekadar slogan, tetapi diterjemahkan melalui perubahan sistem yang menjamin keadilan kepada semua rakyat.
Peruntukan pembangunan bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah hak rakyat.
Chan Chun Kuang
ADUN Semambu
10 Ogos 2026


