Pemilik akaun media sosial terlibat sedang dirakam percakapan berhubung kes yang disiasat.

CYBERJAYA, 15 Julai 2024 — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) telah menjalankan siasatan berhubung aduan diterima mengenai
komen jelik melibatkan elemen 3R (Royalty, Race, Religion) yang dimuat naik
oleh seorang pemilik akaun TikTok.
Dalam operasi dijalankan oleh MCMC di Sungai Petani, Kedah pada Khamis, 11
Julai 2024, seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang merupakan penjawat awam telah disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek.
Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, MCMC menyerahkan Notis Kehadiran pada hari yang sama kepada
suspek mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta
588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau
penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai diingatkan untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian
dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi
yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini, khususnya kandungan
melibatkan 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Sementara itu, penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media
sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara
seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat
pernyataan awam oleh pegawai awam.