Penganjuran Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras 2023
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama Pertubuhan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Negeri Selangor menganjurkan program Himpunan Perpaduan Silat Melayu Se-Paya Jaras 2023 pada 16 Julai 2023, bertempat di Padang Awam Aman Putri, Paya Jaras, Sungai Buloh yang bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Matlamat program ini adalah bertujuan merapatkan pelbagai perguruan Seni Silat sebagai komitmen untuk terus mengangkat martabat persilatan Melayu, di samping, memberi pendedahan serta menggalakkan belia bergiat aktif dalam seni bela diri yang telah dianggap sebagai salah satu ‘benteng utama’ pertahanan negara.
Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti Senam Tari Silat, Acara Pertandingan Silat dan Himpunan Persembahan Silat yang melibatkan hampir seramai 2,000 pesilat dari pelbagai aliran perguruan utama termasuk Seni Silat Cekak, Silat Lincah, Silat Gayong dan Silat Abjad.
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memberi sokongan kepada segala aktiviti dan program pertubuhan-pertubuhan Seni Silat Melayu, khususnya yang melibatkan penyertaan para belia.
Sehubungan dengan itu, sumbangan berupa mock cek keseluruhan berjumlah RM 6,000 turut juga diserahkan dalam penganjuran Himpunan ini.
Kerajaan Negeri juga akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Seni Silat ini sebagai sebahagian aktiviti ko-kurikulum di sekolah.
Semoga penganjuran program ini dapat berfungsi sebagai satu platform terbaik Kerajaan Negeri untuk terus menjalinkan kerjasama dengan persatuan mahupun perguruan-perguruan Seni Silat Melayu dalam merancakkan aktiviti, sekaligus, menyediakan peluang kepada para belia untuk mengasah bakat demi pembangunan akar umbi dan seterusnya mampu menyumbang kepada
kecemerlangan Seni Silat di Negeri Selangor.