PENGUAT KUASA KPDN BERJAYA MENUMPASKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI

  • January 23, 2023
  • 2 min read
PENGUAT KUASA KPDN BERJAYA MENUMPASKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI


PUTRAJAYA, 20 Januari 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan
minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah
premis tanpa nombor yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan
minyak diesel bersubsidi di Jalan Kuari Sungai Long, 43100 Hulu Langat,
Selangor pada 19 Januari 2023.

  1. Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa
    daripada KPDN Putrajaya bermula kira-kira jam 5.15 petang itu adalah hasil
    risikan yang telah dilakukan beberapa hari sebelum serbuan. Ketika serbuan
    dilakukan, seorang individu lelaki warga tempatan ditemui berada di dalam
    premis terbabit bersama tiga (3) lagi individu bukan warganegara sedang
    melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dalam premis tersebut.
  2. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan
    serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan
    berjumlah 42,000 liter selain sebuah lori 1 tan, pam bermotor, beberapa hos
    penyambung, flow meter, telefon bimbit dan beberapa peralatan lain yang
    digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel. Pihak premis juga
    gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran

untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di
bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

  1. Minyak diesel, kenderaan lori, pam bermotor, telefon bimbit serta
    peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi
    tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah
    RM 108,900.00.
  2. Seorang individu lelaki warga tempatan berumur lingkungan awal 30-
    an yang ditemui di dalam premis berkenaan bersama tiga (3) orang lagi
    pekerja bukan warganegara telah ditahan bagi membantu siasatan.
  3. Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang
    dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti
    individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran
    minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan
    diedarkan.
  4. KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana
    individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang
    telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh
    diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak
    lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi
    kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga
    Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau
    kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan
    boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *