Petaling Jaya — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekali lagi menegaskan bahawa kebebasan bersuara serta perbezaan pandangan sentiasa dijamin di Malaysia, namun ia tidak boleh disalahgunakan hingga menjejaskan perpaduan atau mencabar kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk memerlukan rakyat yang berpegang kepada nilai saling menghormati, mematuhi peraturan dan menjaga sensitiviti semua pihak demi mengekalkan keharmonian bersama.
“Malaysia hanya akan terus aman dan makmur apabila semua pihak berpegang kepada nilai saling menghormati, mematuhi peraturan, dan menolak sebarang tindakan yang menggugat keharmonian nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026, pada Rabu.
Menurut beliau, semangat Malaysia MADANI perlu diterjemahkan melalui amalan tata susila dan tanggungjawab bersama, agar setiap warga menghormati batas undang-undang sambil memelihara sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama.
Kenyataan itu dibuat ketika kerajaan terus menekankan kepentingan menjaga kestabilan sosial dan keharmonian nasional dalam suasana politik, ekonomi dan media sosial yang semakin kompleks.



