Projek Komuniti dengan tema ‘Kesihatan Wanita Dijulang, Negara Gemilang’
Sabtu 27 Julai 2024- Satu Projek Komuniti dengan tema ‘Kesihatan Wanita Dijulang, Negara Gemilang’ telah diadakan di Kompleks Komuniti Muhibbah, Bukit OUG, Kuala Lumpur.
Program berbentuk karnival kesihatan yang memfokuskan Kesihatan Wanita ini adalah hasil kolaborasi Kelab Doktor Perubatan Keluarga KL & Putrajaya, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Program ini juga turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi seperti Pusat Khidmat Parlimen Seputeh, Sunway Medical Centre, MK Land Holdings Sdn Bhd, Camber Laboratories Sdn Bhd Malaysia, Rizman Ruzaimi Creations Sdn Bhd, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Duopharma Biotech Bhd, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, PUMA Malaysia, Abott Diagnostics Health Sdn Bhd, Restoran Sri Paandi Sdn Bhd, IDS Medical Systems Group, Blood Malaysia, National Cancer Society Malaysia, Yayasan Sime Darby, Menarini Group, Dutch Lady Malaysia, Farm Fresh Malaysia, DR Group Holdings dan Gardenia Bakeries(KL) Sdn Bhd.
Karnival yang bertemakan kesihatan wanita ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Seputeh sendiri, iaitu YB Teresa Kok. Ia bertujuan memberi kesedaran serta ilmu-ilmu kesihatan kepada golongan wanita yang merupakan tonggak kepada setiap keluarga. Dengan memperkasakan kesihatan wanita, kesihatan ahli keluarga di bawah jagaan mereka juga secara tidak langsung turut diperkasakan.
Aktiviti yang bermula seawal jam 8.00pagi ini dimulakan dengan acara senam robik, diikuti oleh Forum Bicara Hati ke Hati: Panduan Kesihatan Kardiovaskular Untuk Wanita yang hoskan oleh doktor selebriti iaitu Dr Amanda Eli yang lebih dikenali sebagai Dr Unicorn di media sosial.
Karnival kesihatan ini telah berjaya menarik kehadiran lebih 300 peserta yang rata-ratanya adalah penduduk setempat. Program ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada golongan wanita bagi menghargai jasa-jasa mereka yang sentiasa berkorban mendahulukan ahli keluarga yang lain, sehingga kesihatan diri sendiri kadang kala terabai.
Melalui program seperti ini, ilmu-ilmu kesihatan serta saringan secara percuma dibawa secara terus kepada golongan wanita di komuniti.
Antara pengisian program yang berlangsung separuh hari di Kompleks Komuniti Muhibbah ini adalah saringan kesihatan jasmani dan kesihatan mental, pemeriksaan ultrasound ginekologi oleh 3 orang Pakar Sakit Puan secara percuma, saringan kanser payudara, saringan kanser serviks, saringan kesihatan seksual, serta pemeriksaan gigi. Terdapat juga ‘booth’ pemberian vaksin HPV secara percuma oleh National Cancer Society Malaysia.
Bagi menggalakkan golongan wanita untuk hadir, aktiviti kanak-kanak seperti pertandingan mewarna dan ‘face painting’ turut disediakan. Terdapat juga ‘booth’ pemakanan sihat, demo penyediaan makanan sihat, ‘booth’ kesedaran kanser dari NGO Pink Unity dan NCSM, Women Aid Organiztion, MAIWP, PEKA B40 dan urutan traditional dari Jari Emas. Acara cabutan bertuah juga diadakan dengan pelbagai hadiah menarik turut memeriahkan suasana.
Program yang mendapat kerjasama pelbagai agensi ini mencerminkan kasih sayang dan sokongan yang padu oleh ahli-ahli masyarakat dalam menjaga kesihatan komuniti khasnya kaum wanita kita. Aktiviti seperti ini wajar diteruskan di masa-masa akan datang agar kesihatan wanita dari peringkat remaja, dewasa dan usia emas sentiasa dipelihara. Ini kerana peranan yang dimainkan oleh wanita amatlah besar dan ianya dapat mempengaruhi kesihatan keluarga yang dijaga oleh mereka secara amnya.
Wanita yang sihat membentuk keluarga yang sihat dan keluarga yang sihat membentuk negara yang sihat, sepertimana tema program iaitu,’Kesihatan Wanita Dijulang, Negara Gemilang’.