Riang Ria Fest 2026 Meriahkan MITEC Disember Ini, Himpun Aktiviti Keluarga, Muzik dan Haiwan Peliharaan

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! yang bakal berlangsung selama tiga hari di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, dari 4 hingga 6 Disember ini.

Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, pesta hujung tahun itu diperkenalkan sebagai destinasi rekreasi mesra keluarga yang menghimpunkan hiburan, muzik, aktiviti kanak-kanak, haiwan peliharaan dan tawaran beli-belah di bawah satu bumbung.

Penganjuran berkenaan turut bertepatan dengan cuti sekolah akhir tahun serta persiapan kembali ke sekolah, sekali gus menawarkan pilihan aktiviti untuk seisi keluarga mengisi masa lapang dengan pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat.

Majlis pelancaran awal Riang Ria Fest 2026 menyaksikan pengumuman lima rakan kerjasama pertamanya, iaitu Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK), MITEC, Menara Kuala Lumpur, KeciMeow Market dan Biolyn.

Turut diperkenalkan ialah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Gift of Joy oleh MITEC, yang menggalakkan orang ramai menyumbangkan mainan baharu atau terpakai yang masih elok untuk kanak-kanak dari rumah kebajikan terpilih.

Himpunkan Pelbagai Tarikan Untuk Semua Peringkat Umur

Antara tarikan utama yang bakal memeriahkan pesta itu ialah Bazar Haiwan Peliharaan, petting zoo yang menampilkan hampir 20 jenis haiwan, bengkel muzik, persembahan bakat muda Malaysia, aktiviti bersama Menara Kuala Lumpur, bengkel kanak-kanak serta pelbagai tawaran beli-belah hujung tahun.

Pesta berkenaan dijangka menarik ribuan pengunjung, termasuk keluarga dari Lembah Klang dan pelawat dari negeri-negeri lain yang ingin menikmati pengalaman rekreasi serta hiburan dalam suasana meriah.

Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Puan Jessie Tan, berkata Riang Ria Fest diperkenalkan bagi memenuhi keperluan keluarga yang mencari aktiviti menarik sepanjang cuti sekolah tanpa perlu membebankan perbelanjaan.

“Setiap kali menjelang hujung tahun, keluarga di Malaysia sering tertanya-tanya ke mana hendak pergi semasa cuti sekolah. Ibu bapa mahukan aktiviti yang menyeronokkan, bermanfaat dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga tanpa membebankan perbelanjaan.

“Riang Ria Fest menawarkan pilihan tersebut, iaitu sebuah destinasi untuk keluarga dan orang ramai berseronok, belajar, membeli-belah serta meluangkan masa bersama,” katanya.

Menurut beliau, selepas bertahun-tahun berpengalaman dalam penganjuran pameran perdagangan, acara perniagaan dan persidangan, Riang Ria Fest merupakan pesta pertama Qube yang dirancang khusus untuk keluarga dan orang ramai.

Beliau berkata tema All Got Lah! mencerminkan kepelbagaian tarikan yang disediakan, dengan harapan setiap pengunjung dapat menemui aktiviti yang sesuai dengan minat masing-masing pada harga berpatutan.

Sokong Pelancongan Domestik, Rancakkan Ekonomi Tempatan

Selain menawarkan hiburan kepada pengunjung, Riang Ria Fest turut menyasarkan untuk menyokong pelancongan domestik dan merancakkan kegiatan ekonomi tempatan, khususnya di Kuala Lumpur.

Jessie berkata Kuala Lumpur menerima lebih 23 juta pengunjung pada tahun lalu, manakala penghujung tahun merupakan antara tempoh apabila ramai keluarga merancang percutian mereka.

“Kami berharap Riang Ria Fest dapat memberikan satu lagi sebab kepada penduduk Lembah Klang dan pengunjung dari negeri-negeri lain untuk berkunjung ke Kuala Lumpur, sekali gus menyokong sektor perhotelan, premis makanan, pengusaha pengangkutan dan perniagaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata penganjuran pesta itu turut memberi penekanan kepada penglibatan komuniti, termasuk usaha mendekati komuniti perumahan di seluruh Lembah Klang.

Dalam masa sama, kerjasama dengan MITEC menerusi inisiatif Gift of Joy diharap dapat menyemarakkan semangat berkongsi dan menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik sempena musim perayaan.

Kanak-kanak dari rumah kebajikan terpilih turut dijadualkan memeriahkan pesta berkenaan pada Disember nanti.

Jessie berkata lebih banyak rakan kerjasama, pempamer dan aktiviti akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

Menurutnya, Riang Ria Fest dirancang sebagai acara tahunan dan pihak penganjur berharap sokongan rakan kerjasama serta masyarakat dapat membantu mengembangkan pesta itu menjadi acara hujung tahun yang dinanti-nantikan.

Lima Rakan Kerjasama Pertama Perkukuh Tarikan Pesta

YAIKK – Rakan Rasmi Pesta Muzik

Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK), sebuah yayasan kebangsaan yang menyokong industri kreatif, akan menerajui pengisian muzik di Riang Ria Fest 2026.

YAIKK merupakan penganjur Asian Music Games Kuala Lumpur 2026 yang menghimpunkan kira-kira 6,000 pemuzik muda dari sembilan negara.

Menerusi kerjasama ini, YAIKK akan mengendalikan bengkel muzik untuk pemuzik muda merangkumi alat muzik brass dan alat tiupan, drumline serta perkusi dan colour guard. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan beberapa persembahan terpilih.

MITEC – Rakan Lokasi Strategik

Sebagai rakan lokasi strategik, MITEC menyediakan ruang bagi menjayakan penganjuran pesta yang menggabungkan aktiviti keluarga, hiburan dan penglibatan komuniti.

MITEC turut memperkenalkan Gift of Joy, inisiatif CSR di bawah program kelestarian #myWorld, bagi menggalakkan sumbangan mainan baharu atau terpakai yang masih elok untuk kanak-kanak kurang bernasib baik sempena musim perayaan.

Menara Kuala Lumpur – Sahabat Riang Ria

Menara Kuala Lumpur akan membawa pelbagai aktiviti menarik, cenderamata dan maskotnya ke pesta berkenaan.

Pengisian itu memberi peluang kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat antara mercu tanda ikonik Malaysia serta pengalaman yang boleh diterokai di tengah-tengah ibu negara.

KeciMeow Market – Rakan Rasmi Bazar Haiwan Peliharaan

KeciMeow Market akan mengendalikan Bazar Haiwan Peliharaan dan petting zoo yang menjadi antara tarikan utama pesta.

Selain menghimpunkan pencinta haiwan, platform itu turut menampilkan penyedia produk dan perkhidmatan berkaitan haiwan peliharaan serta mempromosikan kepentingan kebajikan haiwan.

Biolyn – Rakan Sokongan

Biolyn, jenama penjagaan rambut, penjagaan diri dan kesihatan yang ditubuhkan pada 2002, turut menyertai Riang Ria Fest sebagai rakan sokongan.

Pengunjung berpeluang menebus hadiah istimewa di reruai Biolyn, tertakluk pada kuantiti terhad setiap hari.

Dengan gabungan hiburan, muzik, aktiviti keluarga, tarikan haiwan peliharaan dan inisiatif kemasyarakatan, Riang Ria Fest 2026 dijangka menjadi antara pilihan pengunjung untuk mengisi cuti sekolah serta memeriahkan suasana hujung tahun di Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *