PUTRAJAYA, 17 Mac – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh agenda memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) apabila Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) mencatat permohonan mencecah RM52 juta sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama TEKUN Nasional itu dilihat menjadi pemangkin penting kepada usahawan bagi menampung keperluan modal pusingan, khususnya ketika peningkatan permintaan sempena musim perayaan.
Sejak dilancarkan pada 5 Februari lalu oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, skim tersebut menunjukkan prestasi memberangsangkan. Sehingga 16 Mac 2026, sebanyak 6,044 permohonan telah diterima di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM52 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,590 permohonan telah diluluskan melibatkan pembiayaan hampir RM35 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan skim dalam membantu usahawan mikro mendapatkan akses kewangan dengan lebih cepat.
Sambutan yang amat menggalakkan ini turut mencerminkan keperluan mendesak dalam kalangan usahawan kecil untuk sokongan kewangan segera, terutama bagi menampung kos operasi dan memenuhi lonjakan permintaan sepanjang Ramadan.
Menurut Steven Sim, inisiatif berkenaan selari dengan komitmen kerajaan untuk mempermudah proses birokrasi serta mempercepat akses kepada pembiayaan, sejajar dengan Strategi A.B.C.D KUSKOP yang menekankan aspek produktiviti, kecekapan pentadbiran, capaian modal dan akses pasaran.
KUSKOP turut menegaskan komitmen berterusan untuk menambah baik mekanisme penyampaian skim pembiayaan sedia ada agar lebih ramai usahawan dapat menikmati manfaatnya, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Hebatkan Perniagaan Malaysia!”



