Selangor cungkil bakat usahawan wanita asnaf dan ibu tunggal melalui Liga Usahawan Wanita Selangor anjuran DYTM Raja Muda Selangor dan Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Negeri Selangor
Kuala Lumpur, 21 Jun 2023 – Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor dan YB Hajah Rodziah Binti Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Selangor berhasrat membangunkan taraf ekonomi wanita dari keluarga berpendapatan rendah, ibu
tunggal dan wanita asnaf melalui program keusahawanan Liga Usahawan Wanita Selangor dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) yang telah berlangsung selama tiga bulan bermula April 2023.
Program Liga Usahawan Wanita Selangor merupakan sebuah program berimpak tinggi dengan matlamat untuk memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan yang mampan melalui peluang perniagaan.
Program ini berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran, dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.
Pada fasa pertama program ini, seramai 100 usahawan wanita diberi pendedahan melalui seminar perniagaan dan 30 orang peserta yang komited telah dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor.
Pada pusingan akhir Liga Usahawan Wanita pada hari ini, 10 usahawan wanita telah membuat pembentangan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Alhaj, Raja Muda Selangor. Pelbagai aneka perniagaan telah dibentangkan, antaranya ialah perkhidmatan solek, kerepek, aiskrim yogurt, perkhidmatan
menjahit kulit, penjualan nasi lemak pada waktu malam, perkhidmatan menjahit langsir, dan sebagainya.
Di akhir pembentangan, tiga usahawan telah memenangi pusingan akhir ini seterusnya dinobatkan sebagai Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023. Pemenang akan membawa pulang trofi Ikon Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 dan geran bernilai RM3,000 seorang.
Di samping itu, seramai 21 peserta lain menerima geran perniagaan bernilai RM1,000 seorang untuk membantu mereka memulakan perniagaan mikro masing-masing.
Tiga pemenang Pusingan Akhir Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 adalah:
Tempat Pertama: Pop Yummy oleh Sofea Chan Shu Fen Binti Abdullah
Tempat Kedua: Servis Jahitan Cover Steering & PU Leather oleh Nor Sabrina Binti Nor Saidi
Tempat Ketiga: Kudap Kudap Zaesya oleh Fauziah Binti Abdus Somad
Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita pada hari ini telah diadili oleh juri berpengalaman yang terdiri daripada:
- Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Raja Muda Selangor merangkap Pengasas dan Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY)
- YBrs. Pn. Intan Nur Aqielah binti Ismail, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor
- YBrs. En Mohammad Syukri bin Ismail, Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH)
- YBrs. Pn. Nurul Balkhis Arshad, Pegawai Pembangunan MARA Selangor
- YBrs. Cik Aida binti Zunaidi, Pengasas Ibupreneurs
Dalam ucapan penutup, YB Rodziah Ismail mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menghabiskan program Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 yang telah berlangsung selama tiga bulan, “Melalui program ini, patik serta hadirin lain telah menyaksikan semangat, keberanian dan ketekunan yang luar biasa daripada setiap peserta wanita kita.
Anda telah menunjukkan potensi yang tidak terbatas dalam dunia perniagaan, Setiap idea, langkah dan halangan yang dihadapi adalah penting demi masa depan diri dan keluarga yang lebih baik.
Liga Usahawan Wanita Selangor bukan hanya sekadar pertandingan kalah ataupun menang, tetapi adalah terarah kepada mewujudkan sebuah komuniti wanita yang saling bantu-membantu.”
Untuk maklumat lanjut berkenaan Liga Usahawan Wanita Selangor 2023, sila layari laman sesawang di https://entrepreneurshipselangor.com.my/luws/