Seruan kepada semua penggiat seni dan umum bersatu hati membantu mangsa banjir- IRAMA & GABUNGAN NGO
Sungai Buloh 10 Disember 2024: Siapa yang tidak tersentuh hatinya bila melihat kemusnahan akibat banjir yang sering dipaparkan di berita. Saban hari ada sahaja paparan berita terlihat mangsa-mangsa yang menerima musibah banjir yang melanda beberapa negeri di negara kita sepanjang bulan ini. Petani penternak kerugian besar dan amat dahsyat ada yang rumah mereka di tenggelami air.
Ada mangsa yang kehilangan semua harta benda apabila rumah roboh dan hilang dihanyutkan arus deras.
Perternak dan berkebun pula terpaksa berputih mata apabila haiwan ternakan dihanyutkan banjir dan tanaman musnah mengakibatkan kerugian yang besar.
Inilah ujian besar yang diturunkan oleh Allah SWT dan setiap dari kita perlu reda menerimanya.
Terpanggil serta bersimpati dengan apa yang berlaku, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dengan Kerjasama Persatuan Reformis Ulung, Persatuan Megah Muafakat dan Stesen Radio Bapakku Fm serta syarikat rakaman mengambil inisiatif menggerakkan Misi Bantuan Banjir bagi membantu mangsa-mangsa.
Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, mereka kini sedang menguruskan Pusat Pengumpulan Barang-Barang untuk membantu mangsa banjir terkini.
“Misi ini bertujuan untuk membantu mangsa banjir yang terkesan dengan menyediakan keperluan harian yang amat diperlukan.
“Masyarakat sekitar Kuala Lumpur khususnya serta rakyat Malaysia amnya diberi peluang untuk menyumbangkan barangan keperluan dan membantu meringankan
beban mangsa banjir
“Beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk tujuan ini iaitu Kafe Narateawhat Sungai Buloh, Bukit Indah Ampang, Shah Alam dan juga Bangi serta di Pejabat Radio Bapakku Fm Gombak,” katanya.
Menurutnya Misi Bantuan Banjir mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak merangkumi pelbagai bentuk dan cara antaranya:-
- Makanan
- Peralatan pembersihan rumah
- Water jet
- Peralatan kebersihan diri
- Kain batik, kain pelikat, telekung
- Pakaian dalam, tuala wanita
- Selimut, toto, tikar
- Air mineral
- Lampin pakai buang
“Jika anda diluar sana ingin membantu,
bolehlah menghubungi nombor 019 3682548 atau WhatsApp 014 812 9763,” katanya.
Barisan artis yang menyatakan persetujuan untuk terbabit dalam misi mulia ini ialah Datuk Nash.
“Saya rasa sangat sedih dan terpanggil untuk membantu apabila lihat paparan-paparan video kesukaran, kesusahan dan penderitaan mangsa banjir menerusi pelbagai medium.
“Ada yang sudah berusaha pelbagai cara untuk mengelakkan menjadi mangsa antaranya meninggikan tapak rumah dan memastikan haiwan dalam keadaan selamat tapi kehendak Allah tidak boleh dilawan.
“Jadi saya menyeru kepada semua penggiat seni agar bersatu hati membantu mereka yang terkesan. Inilah tanda solidariti golongan artis kepada masyarakat. InsyaAllah kebaikan kita akan mendapat ganjaran Allah nanti,” katanya.