MELAKA, 9 Mei 2026 – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini, Ishak Mohamed Salleh, ketika menziarahi beliau di kediamannya di sini.Ishak Mohamed Salleh, 65, yang pernah menerajui Melaka Hari Ini selama 18 tahun sehingga 2018, kini berdepan cabaran kesihatan termasuk diabetes dan penyakit saraf yang menyebabkan kehilangan deria rasa pada bahagian kanan tubuhnya.
Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan pada April 2023 telah memanfaatkan seramai 740 pengamal media di seluruh negara. Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan bantuan.Program berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA dan dilancarkan bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin serta Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.



