Tak Mahu Susah Bila Bersara? PPA Ada Jawapannya Menerusi Hari PRS Pada 11 & 12 Julai Di Mytown Shopping Centre

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ramai rakyat Malaysia masih menangguhkan perancangan persaraan kerana memberi keutamaan kepada komitmen kewangan semasa atau beranggapan persaraan masih terlalu jauh. Menyedari hakikat itu, Private Pension Administrator (PPA) melancarkan Hari PRS, inisiatif awam pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada perancangan persaraan, literasi kewangan dan kesejahteraan kewangan jangka panjang.

PPA merupakan pentadbir pusat bagi Private Retirement Scheme (PRS) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Organisasi itu bertanggungjawab memudah cara pentadbiran PRS, mengurus rekod ahli, memastikan kelancaran transaksi antara Penyedia PRS serta menyokong pembangunan simpanan persaraan secara sukarela di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, Hari PRS diwujudkan bagi mengubah persepsi masyarakat yang sering menganggap perancangan persaraan hanya perlu dilakukan apabila menghampiri usia persaraan.

Menurut beliau, Hari PRS menghimpunkan kesemua tujuh Penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) bersama sebuah Pengedar PRS di bawah satu bumbung, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk membandingkan pilihan persaraan, mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar serta memahami bagaimana PRS dapat membantu mencapai matlamat kewangan jangka panjang mereka.

Beliau berkata, program bertemakan “Nak Senang Bila Bersara! Jom PRS!” itu akan berlangsung pada 11 dan 12 Julai, dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Ground Floor Flash Retail Area, MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Acara yang percuma dan terbuka kepada orang ramai itu menawarkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sesi perkongsian bersama pakar, pemeriksaan kesihatan percuma, kopi percuma, hadiah menarik, aktiviti pentas serta peluang mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada tujuh Penyedia PRS dan sebuah Pengedar PRS.

Penganjuran Hari PRS turut mendapat sokongan padu daripada MyTOWN Shopping Centre sebagai rakan lokasi yang menyediakan platform bagi mendekatkan pendidikan kewangan dan perancangan persaraan kepada masyarakat dalam suasana yang santai, mudah diakses dan mesra keluarga.

“Tidak seperti pameran biasa, Hari PRS menjadi permulaan kepada usaha berskala nasional untuk membudayakan persediaan persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Taufiq berkata, penganjuran program itu turut mencerminkan komitmen PPA untuk menjadikan perancangan persaraan lebih mudah diakses, mudah difahami dan relevan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami mahu menjadikan perancangan persaraan lebih mudah diakses, mudah difahami dan relevan kepada rakyat Malaysia pada setiap peringkat kehidupan – daripada golongan profesional muda yang baru memulakan kerjaya, keluarga yang merancang masa depan kewangan hinggalah individu yang sedang membuat persediaan persaraan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2025, PRS merekodkan 671,736 ahli dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM8.8 bilion, manakala jumlah caruman sepanjang tahun lalu mencecah kira-kira RM1 bilion.

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap PRS sebagai pelengkap kepada simpanan persaraan, namun usaha memperluaskan kesedaran dalam kalangan rakyat masih perlu dipertingkatkan.

“Walaupun kesedaran semakin meningkat, ramai rakyat Malaysia masih menangguhkan perancangan persaraan kerana komitmen kewangan semasa atau beranggapan persaraan masih terlalu jauh.

“Dengan peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat yang lebih panjang, keperluan membina simpanan persaraan yang mampan kini menjadi semakin penting,” katanya.

Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk berinteraksi dengan pakar industri, mendapatkan konsultasi perancangan persaraan dan kewangan, membuka akaun PRS di lokasi acara, menghadiri bengkel literasi kewangan, menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, menikmati kopi percuma, menyertai aktiviti pentas interaktif, cabutan bertuah, Spin & Win serta membawa pulang pelbagai hadiah dan promosi eksklusif.

Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka menghadiri Hari PRS sepanjang dua hari program berlangsung. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *