PETALING JAYA — Doku-filem The Last Dive tampil bukan sekadar sebagai sebuah karya aksi pengembaraan, sebaliknya membawa mesej besar mengenai pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU), keterangkuman sosial dan kepentingan memelihara ekosistem marin.
Diinspirasikan daripada kisah dan pengalaman sebenar golongan OKU, karya yang turut dikenali sebagai Takdir Akhir: Last Dive itu membawa penonton menyelami kehidupan individu yang berdepan keterbatasan fizikal, namun enggan membiarkan keadaan menjadi penghalang untuk menjalani kehidupan aktif.



Tayangan khas filem berkenaan diadakan di GSC Paradigm Mall, Kelana Jaya, pada Jumaat, 21 Ogos 2026 menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dan Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd (Produksi Seni 2020).
Majlis itu lebih bermakna dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, selaku Penaung Diraja YANIS yang berkenan menyaksikan karya berkenaan bersama komuniti OKU, anak-anak istimewa serta keluarga mereka.



Program berkenaan bukan sekadar acara hiburan, malah menjadi medium advokasi sosial yang menyatukan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor merangkap Pengerusi YANIS, Anfaal Saari, berkata karya berkenaan merupakan inisiatif serampang tiga mata yang turut memberi penekanan kepada usaha menghapuskan stigma terhadap golongan OKU.


“Kita mahu membuktikan bahawa dengan sokongan dasar, kemudahan dan teknologi, golongan OKU dapat kita rangkumkan bersama-sama dalam masyarakat, sama ada dalam kegiatan rekreasi, hiburan mahupun kebudayaan.
“Penglibatan ikon dan bakat OKU sebenar dalam penerbitan filem ini membuktikan ketidakupayaan fizikal bukan penghalang untuk mereka meneroka potensi diri,” katanya pada sidang media tayangan berkenaan.
Menurutnya, antara mesej yang menarik perhatian menerusi The Last Dive adalah pemerkasaan OKU melalui konsep Zero Gravity Freedom atau kebebasan graviti sifar.
Di darat, individu OKU fizikal mungkin berdepan kesukaran mobiliti dan kebergantungan terhadap kerusi roda atau tongkat, namun persekitaran neutral graviti ketika melakukan selaman skuba membolehkan mereka menikmati tahap mobiliti berbeza di dalam air.



Ia sekali gus membawa simbolik bahawa apabila diberikan kemudahan, teknologi dan peluang yang sesuai, keterbatasan fizikal tidak semestinya menghalang golongan OKU daripada menikmati aktiviti rekreasi dan gaya hidup aktif.
Malah, The Last Dive tidak meletakkan golongan OKU sebagai individu yang hanya mengharapkan simpati, sebaliknya menampilkan mereka sebagai individu cekal, luar biasa dan mempunyai potensi untuk berubah daripada “mangsa” kepada “wira”.
Selain pemerkasaan OKU, satu lagi teras utama The Last Dive adalah pemuliharaan ekosistem marin.
Filem itu mengangkat isu pukat hantu (ghost nets), iaitu pukat lama yang ditinggalkan di laut sehingga menjadi perangkap maut kepada hidupan marin termasuk jerung, penyu dan ikan pari.
Turut diberikan perhatian ialah kesan penggunaan bom ikan yang boleh memusnahkan ekosistem yang mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun untuk pulih serta ancaman plastik sekali guna terhadap hidupan marin.
Sisa plastik seperti pembalut dan straw misalnya boleh disalah anggap sebagai makanan oleh penyu sehingga mengancam nyawa haiwan berkenaan.
Kemerosotan terumbu karang turut mempunyai implikasi lebih besar terhadap keterjaminan makanan, memandangkan ekosistem berkenaan menjadi antara kawasan penting pembiakan hidupan laut yang menjadi sumber makanan manusia.
Dari sudut penceritaan, The Last Dive memfokuskan kepada Faiz atau “Zero Faiz”, bekas pemain bola sepak yang impiannya musnah selepas menjadi mangsa kemalangan langgar lari.
Walaupun berdepan trauma, Faiz terus berusaha menyiasat kejadian berkenaan sehingga membawanya kepada sebuah pusat selaman skuba.
Di situ, dia bertemu Amelia, jurulatih selam skuba dan ahli biologi marin yang turut berdepan penyakit mengancam nyawa, namun tetap gigih menjadi sukarelawan melatih individu OKU melakukan selaman skuba.
Perjalanan mereka meneroka lautan kemudian membongkar kegiatan haram memburu terumbu karang dan mengebom ikan oleh sindiket yang didalangi seorang tekong dikenali sebagai Kamal.
Bersama komuniti mereka, Faiz dan Amelia berusaha mendepani ketakutan serta bayang-bayang silam sehingga Faiz akhirnya bangkit daripada kedudukannya sebagai mangsa dan mendedikasikan dirinya kepada usaha pemeliharaan alam sekitar.
Filem arahan Datin Dr Wendy Wong, yang turut bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit eksekutif itu dibintangi Shiqin Kamal sebagai Amelia, Aniq Durar sebagai Faiz, Fify Azmi sebagai Gee, Amerul Affendi sebagai Kamal dan Sandra Lim sebagai Jade.
Bercakap kepada pemberita Datin Dr Wendy Wong menjelaskan kisah benar ini bermula apabila Beliau dan partner dijemput ke sebuah festival perayaan Amerika. Di sana, kami berjumpa dengan seseorang yang berkongsi kisah inspirasi tentang seorang wanita yang sepanjang hidupnya terpaksa menggunakan kerusi roda.
Wanita itu pernah bertanya, “Bolehkah saya cuba menyelam? Saya tidak pernah merasai kebebasan bergerak tanpa kerusi roda.” Dia kemudian dilatih dan akhirnya berjaya melakukan sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini.
Namun, di sebalik kejayaan itu, ada kisah yang lebih menyentuh. Lelaki yang membantunya mula jatuh cinta kepadanya, tetapi dia menolak kerana menganggap mungkin itu adalah “hayat terakhirnya”. Dia sebenarnya menghidap kanser.
Kisah benar ini mengajar kita untuk menghargai kehidupan, mencintai diri sendiri dan berani merasai kebebasan selagi masih diberi kesempatan.
Turut tampil dalam Filem Hebat ini ialah Bella Azhar yang merupakan jurulatih selam skuba OKU fizikal dan memainkan watak menggunakan namanya sendiri, Bella.
Selain itu, ikon OKU Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi turut membuat penampilan istimewa bersama penyanyi tersohor Fauziah Latiff.
Lebih menarik, produksi itu turut membabitkan penyelam OKU sebenar yang melakukan rutin selaman skuba bagi menunjukkan bahawa keterbatasan fizikal tidak semestinya menghalang mereka menikmati aktiviti lasak.
Antaranya Mohamad Aslan Baharin (Aslan), Mohd Yusnizal Mohd Yussof (Sony) dan Yi Qian (Joey).
Penglibatan bakat OKU sebenar itu memberikan nilai autentik kepada The Last Dive, selain membuka ruang untuk masyarakat melihat kemampuan mereka dari perspektif berbeza.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, Kamarul Hisham Yeop Hashim, berkata tayangan khas itu diadakan hasil cadangan pihak produksi menerusi Datin Dr Wendy Wong bersama Datuk Nancie Foo, dengan antara objektifnya mempertemukan komuniti OKU dan anak-anak istimewa dengan karya yang mengangkat kisah serta potensi mereka.
Produksi Seni 2020 sendiri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri penerbitan filem dan televisyen sejak 19 September 1991 serta sudah menerbitkan lebih 900 judul program televisyen.
Antara kejayaan terdahulunya ialah Sumpahan Jerunei (Curse of the Totem) yang menurut kit media produksi, meraih 19 anugerah antarabangsa dan satu anugerah tempatan.
Menerusi The Last Dive, produksi itu mahu menghasilkan sebuah karya yang menggambarkan golongan OKU menerusi perspektif positif, pada masa sama menyampaikan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan terumbu karang.
Filem itu turut menyasarkan pasaran dan festival filem antarabangsa, dengan antara kekuatan utamanya adalah sinematografi bawah air yang menampilkan keindahan dasar laut menerusi proses penggambaran yang mencabar.
Hadir sama pada tayangan khas itu ialah Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid; Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Yazid Sairi; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Azmir Kassim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim, selain rakan strategik serta tetamu jemputan.
Turut bersama ialah wakil persatuan strategik OKU termasuk Majlis Belia OKU Malaysia/Selangor, Persatuan Damai OKU Malaysia, National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS).
The Last Dive akhirnya bukan sekadar membawa penonton menyelami keindahan dunia bawah laut, tetapi mengangkat persoalan lebih besar mengenai bagaimana masyarakat melihat golongan OKU dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar.
Dengan menggabungkan seni, kisah kemanusiaan, penyelaman skuba, pemerkasaan OKU dan kelestarian ekosistem marin, karya itu membawa mesej bahawa keterbatasan fizikal tidak seharusnya menentukan kemampuan seseorang, manakala kelestarian alam pula memerlukan tindakan dan tanggungjawab bersama.



