Kuala Lumpur, 15 April 2026 – GSC Movies dengan bangganya membawakan filem
komedi-drama Indonesia Tunggu Aku Sukses Nanti ke pawagam Malaysia bermula
16 April 2026. Arahan Naya Anindita, filem ini mengangkat kisah yang dekat dengan
realiti kehidupan, tekanan keluarga, pencarian arah hidup, dan makna sebenar
kejayaan.
Diterajui oleh Ardhit Erwandha, bersama Lulu Tobing, Afganshah Reza, Ariyo Wahab,
Adzana Ashel, Fita Anggriani Ilham dan ramai lagi, filem ini mengikuti perjalanan
seorang anak muda yang bergelut membuktikan dirinya di tengah ekspektasi
keluarga dan masyarakat. Dengan gabungan elemen humor dan emosi, ia tampil
sebagai naskah yang sangat dekat dengan penonton di Malaysia dan menyentuh
hati.
Pengarah Naya Anindita, yang sebelum ini dikenali menerusi filem Komang, sekali
lagi membuktikan keupayaannya mengolah isu-isu kehidupan dengan sentuhan
yang ringan namun bermakna. Gaya penceritaannya yang menggabungkan drama
dan komedi menjadikan kisah yang berat terasa dekat dan mudah dihayati. Sejak
ditayangkan di Indonesia, filem ini telah menghampiri lebih 3 juta penonton dalam
tempoh singkat, mencerminkan sambutan hangat dan kekuatan penceritaannya.
Malam Gala filem ini berlangsung meriah di GSC Mid Valley Megamall, dengan
kehadiran istimewa Afganshah Reza dan pengarah Naya Anindita, yang turut
meluangkan masa berinteraksi bersama peminat dan pihak media. Acara ini turut
diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Tuan Yang Terutama Raden Dato’
Mohammad Hascarya Kusumo, Duta Besar Republik Indonesia.
Filem ini diterbitkan oleh Rapi Films, Screenplay Films, dan Legacy Pictures, serta
diedarkan di Malaysia oleh GSC Movies bersama Suraya Filem. Jangan lepaskan
peluang untuk menyaksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula 16
April 2026.



