TYT PULAU PINANG RASMI SERAHAN BANGUNAN WAKAF YAYASAN INFAQ ANGKASA KEPADA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG
Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 6 Mac 2023, telah menyempurnakan perasmian Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) – Yayasan Infaq ANGKASA di Bertam Perdana, Pulau Pinang.
Dua unit bangunan yang terletak di Bertam Perdana itu telah dibeli oleh ANGKASA pada tahun 2019 dengan harga RM1,170,100.00 sebelum diwakafkan kepada MAINPP dan diuruskan oleh Yayasan Infaq ANGKASA selaku Nazir.
Bangunan dua tingkat itu juga merupakan aset ketiga diwakafkan oleh Yayasan Infaq ANGKASA kepada Majlis Agama Islam Negeri selepas aset rumah kedai dua tingkat di Bandar Baru Uda, Johor Bharu dan sebuah bangunan di Presint 11, Putrajaya.
Kini bangunan tersebut disewakan kepada ANGKASA Negeri Pulau Pinang di tingkat atas dan pasar mini ANGKASA Mart di tingkat bawah.
Presiden ANGKASA yang juga merupakan Pengasas Yayasan Infaq ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya telah menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih kepada TYT atas kesudian untuk menyantuni majlis sekali gus merasmikan bangunan wakaf tersebut.
Katanya, sokongan dan juga dorongan daripada semua pihak terhadap usaha yang digerakkan melalui Yayasan Infaq ANGKASA benar-benar meningkatkan semangat serta kesungguhan ANGKASA untuk memperhebatkan lagi budaya berinfaq dalam gerakan koperasi demi kemajuan sosioekonomi ummah.
Hadir sebagai tetamu di majlis tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Roslan Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd Noor, Mufti Selangor merangkap Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Infaq ANGKASA, Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir dan Setiausaha MAINPP, Dato’ Haji Samsudin Bakar.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dr. Mohd Azlan Yahya, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Encik Azizul Alias, barisan Ahli Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Pulau Pinang yang diketuai Pengerusinya, Haji Mohd Jamil Othman, Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin, Setiausaha Eksekutif ANGKASA, Encik Hasnan Haji Mustapha, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Puan Norlelah Samsuddin dan Timbalan Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Utara, Puan Norafidah Ismail.