Virtual Tour TT5: Pendekatan berbeza, keunikan tetap sama
IPOH, 8 JULAI 2021 – Mahu rasai pengalaman berada di dalam kapal korek warisan terakhir industri perlombongan bijih timah negara? Tidak dapat ke Kapal korek Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) kerana situasi pandemik covid -19 serta tidak boleh rentas negeri? Tiada masalah.
Kini, TT5 dibawakan terus kepada anda secara virtual, hasil kerjasama Lokalocal, sebuah syarikat penyedia pengalaman pelancongan secara realiti maya secara percuma.
Menerusi link lokalocal.com/vr/tt5perak, pengunjung yang melayari laman berkenaan sama ada menerusi telefon pintar mahupun komputer riba akan merasai pengalaman sebenar seperti mengunjungi kapal korek warisan negara yang terletak di Tanjung Tualang.
Untuk merasai pengalaman yang luar biasa, pelayar laman ini boleh menggunakan VR Box namun jika tidak ada, pengalaman berada di TT5 secara virtual sudah menyeronokkan.
Lebih menarik lagi, tour guide sebenar akan menerangkan setiap perincian dan keistimewaan kapal korek pada setiap Isnin, Rabu dan Sabtu pada pukul 10 pagi dan 3 petang.
Selain itu, pelayar boleh mengakses virtual tour pada bila-bila masa , terutama buat sesiapa yang berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Bukan itu sahaja, pengunjung juga akan berpeluang untuk mendapat potongan 20 peratus diskaun tiket ke TT5 dan menebus cenderahati apabila dibuka kepada umum kelak .
Tawaran ini sah sementara stok masih ada dan terbuka kepada semua pelayar virtual tour ini. Sementara itu, Pengurus Amanjaya TT5 Sdn.Bhd., Encik Shahrin Zainon berkata, idea virtual tour ini adalah pendekatan berbeza kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat kapal korek warisan negara ini berikutan pandemik Covid-19 yang menyukarkan pergerakkan untuk menuju ke destinasi pelancongan.
Katanya lagi, meskipun pengalaman berkunjung secara virtual namun pelayar tetap merasakan keunikannya, sama seperti berada di TT5.
“Pelayar akan merasai pengalaman sebenar berada dalam sebuah kapal korek dan memahami bagaimana operasi perlombongan serta menikmati persekitaran kawasan yang cukup menarik terutama pemandangan disekitarnya.
“TT5 mengambil maklum tentang setiap perincian kapal korek yang mempunyai sejarah tersendiri perlu diterangkan oleh tour guide kepada pengunjung. Sebagai permulaan, kami menetapkan waktu lawatan tertentu bersama dengan tour guide terlatih dari TT5.
Sekiranya virtual tour mendapat permintaan tinggi, kami akan menambah slot berkenaan , ‘’ ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrin berkata, gambar yang dirakam dan suasana dalam laman itu juga adalah gambar sebenar dan suasana yang sama seperti berada di TT5 .
“Keunikan TT5 tetap sama namun pendekatan kunjungan sahaja berbeza. Oleh itu, kami berharap agar orang ramai lebih-lebih lagi generasi muda bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara agar mengambil peluang ini untuk mengunjungi kapal korek , mendalami sejarah dan kepentingannya pada zaman kegemilangan bijih timah pada waktu dahulu, ‘’ katanya.