Wangsa Maju Beri Penghargaan Pencapaian Sukan, Anjur Program Klinik Kabaddi
KUALA LUMPUR, 4 Disember 2023-Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju buat julung kalinya telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Sukan Parlimen Wangsa Maju 2023.
Penghargaan telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Yang Berhormat Ts.Zahir Hassan kepada atlet-atlet yang mengharumkan nama Wangsa Maju serta nama negara dengan rekod pencapaian mereka yang cemerlang.
Turut diraikan dalam majlis tersebut, Leong Jun Hao atlet badminton kebangsaan yang telah menjuarai Kejohanan Badminton KL Master 2023 yang lalu dalam kategori perseorangan lelaki.
Turut diraikan, Pasukan Bola Sepak Sri Tioman 1 FC dan Pasukan Bola Sepak R1
Seksyen 1, masing-masing merupakan juara dan pemenang tempat ketiga dalam DBKL Home Cup 2023 Edisi Kedua baru-baru ini.
Zahir turut menganugerahkan gelaran Atlet Harapan Wangsa Maju 2023 kepada Aisya Humairah Mohd Sharizal, 13 tahun, pelajar di SMK Pendidikan Khas Setapak yang merupakan atlet para atas pencapaian cemerlang beliau dalam sukan renang.
Aisya telah memenangi empat pingat emas dalam Sirkit 1 Para Renang MSN 2023 dan empat lagi pingat emas dalam 1st CMAS Freediving and Finswimming PARA Sport World Championship di Itali baru-baru ini.
Beliau juga telah mencatatkan empat rekod dunia baharu semasa di Itali.
Acara kemuncak majlis tersebut disempurnakan dengan penyampaian Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sekolah Menengah Parlimen Wangsa Maju 2023.
kepada Muhammad Aiman Farhan bin Mohd Fuzi dan Nur Aliyya Sumayyah binti Mohamed Tarmizi.
Penerima anugerah tersebut turut membawa pulang hadiah berupa Geran Tajaan Melanjutkan Pengajian.
“Ini kali pertama kita adakan majlis ini. InsyaAllah kita rancang untuk adakan majlis ini sebagai program tahunan di Wangsa Maju.
Saya berharap melalui majlis penghargaan seperti ini, penglibatan sukan di Wangsa Maju dapat dipertingkatkan dan lebih banyak bakat sukan dapat dilahirkan,” kata Zahir.
Majlis tersebut turut menyaksikan upacara penyerahan Memorandum of Understanding antara Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju dengan Persatuan Kabaddi Malaysia dan
Persatuan Kabaddi Wilayah Persekutuan atas kerjasama menjayakan Program Klinik Kabaddi di sekolah-sekolah menengah di Wangsa Maju.
Dalam ucapan beliau, Zahir mengumumkan telah mengadakan roadshow di dua buah sekolah perintis Program Klinik Kabaddi tersebut iaitu SMK Danau Kota dan SMK Taman Melati.
Beliau dilaporkan turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong semua aktiviti yang melibatkan sukan dan belia, khususnya di dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju.