11 KOPERASI DI PERAK TERSENARAI DALAM 100 KOPERASI TERBAIK MALAYSIA

  • May 9, 2023
  • 2 min read
11 KOPERASI DI PERAK TERSENARAI DALAM 100 KOPERASI TERBAIK MALAYSIA

Sebanyak 11 buah koperasi di negeri Perak telah berjaya menduduki dalam kelompok 100 Koperasi Terbaik Malaysia sekali gus meletakkannya sebagai negeri kedua dengan jumlah koperasi terbanyak dalam senarai tersebut.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak dan Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Perak telah menganjurkan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di Ipoh, Perak pada 9 Mei 2023 bagi menghargai sumbangan koperasi-koperasi ini. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, selain memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada 11 koperasi terlibat, majlis itu juga dapat mewujudkan jaringan usahawan dan kerjasama dalam kalangan penggerak koperasi serta perkongsian hala tuju Kerajaan Negeri Perak bagi pembangunan gerakan koperasi di negeri tersebut.

“Koperasi yang terpilih dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia ini adalah berdasarkan penilaian kuantitatif dan kualitatif merangkumi aspek pengurusan kewangan, kompetensi pengurusan, pematuhan perundangan, kelestarian perniagaan, kepuasan anggota serta keyakinan masyarakat. Proses penilaian menggunakan piawaian yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Penilai Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Perak telah menyalurkan sebanyak RM33,000 kepada 11 koperasi yang tersenarai sebagai satu insentif penghargaan terhadap sumbangan koperasi tersebut kepada peningkatan sosio ekonomi anggota koperasi di negeri itu khususnya.

“Selain itu, pihak SKM turut menyediakan kemudahan atau insentif pembiayaan kepada koperasi yang tersenarai. Had pembiayaan ini adalah berjumlah RM500,000 hingga RM30 juta dengan kadar keuntungan antara satu peratus hingga empat peratus sahaja.

Ini merupakan salah satu cara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam usaha untuk membantu memajukan lagi gerakan koperasi di negeri ini,” jelasnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Senator Puan Sarasvati A/P Kandasami, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Puan Salbiah Mohamed, Setiausaha Pembangunan Bahagian Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, Encik Azizul Alias, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) merangkap Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Mohd Ali Mansor, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Pengerusi JPAN Perak, Haji Mohd Rosli Haji Basri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *