180 Peserta Sertai Townhall Cadangan Pembangunan Semula Rumah Pangsa Waller Court
IPOH: Seramai 180 peserta yang terdiri daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat YB M.Kulasegaran A/L V.Murugeson, ADUN Kepayang YB Dr Ko Chung Sen, Ahli Majlis MBI, NGO dan pihak-pihak berkepentingan telah mengambil bahagian dalam Sesi Townhall Cadangan Pembangunan Semula Rumah Pangsa Waller Court di Rumah Pangsa Waller Court petang tadi.
Program anjuran MBI itu diadakan bagi membentuk hala tuju pembangunan serta membincangkan isu, masalah dan cadangan awal pembangunan Rumah Pangsa Waller Court.
Pelan pembangunan yang dicadangkan itu termasuk menyediakan ruang rumah yang selesa dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu dan dua bilik air, kemudahan dewan komuniti serta kawasan riadah.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Bin Baharin @ Md Daud, berharap program seumpama itu akan menjadi platform terbaik dalam membantu mendapatkan maklum balas dan pandangan dari warga kota Ipoh dalam menentukan pembangunan masa hadapan.
Program selama tiga jam itu kawal selia oleh tiga fasilitator iaitu Encik Zulkefli Bin Osman, Ketua Penolong Pengarah Perancang Bandar dari Jabatan Perancang Bandar, Encik Muhammad Syahril Bin Sapiran, Pengarah Kawalan Pembangunan dari Jabatan Kawalan Pembangunan dan Sr. Burhanuddin Bin Maamor, Pengarah Penilaian dari Jabatan Penilaian Dan Hartanah, MBI.