26 Tahun Persahabatan, Dari Bangku Sekolah ke Layar Perak: Kisah Inspirasi Alumni Rantau

KUALA LUMPUR – Sebuah filem pendek sarat dengan nilai persahabatan dan semangat kebersamaan berjaya dilancarkan dalam satu majlis penuh bermakna, hasil inisiatif sekumpulan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau yang menamakan kumpulan mereka sebagai Rastafarians’z.

VIP
Datuk Mohan Thangarasu
Dato Mogan Velayatham
Tuan Ganesan Suppiah
Puan Devi Maniam
Datin Logeswari Shanmugam

MKU LIVE STREAMING

Penerbitan filem tersebut bukan sekadar sebuah karya kreatif, malah menjadi simbol kukuhnya ikatan persahabatan yang terjalin sejak 26 tahun lalu.

Filem berkenaan mengangkat kisah benar perjalanan hidup mereka sejak zaman persekolahan pada era 1990-an hingga ke hari ini. Ia memaparkan perjalanan sekumpulan sahabat yang dahulunya menimba ilmu bersama, kini berjaya dalam pelbagai bidang profesional termasuk perubatan, kejuruteraan, keusahawanan dan perkhidmatan awam, malah ada yang dianugerahkan gelaran Datuk.

VIDEO SIDANG MEDIA

Walaupun membawa haluan kerjaya berbeza, hubungan mereka kekal utuh dan terus diperkukuh melalui semangat saling membantu serta keprihatinan antara satu sama lain.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri bekas guru mereka yang meluahkan rasa bangga dan terharu atas kejayaan anak didiknya.

“Saya amat terpegun melihat penampilan dan lakonan mereka dalam filem ini. Percambahan idea yang dizahirkan membuktikan kematangan pemikiran mereka. Bukan sahaja dalam filem, malah dalam kehidupan sebenar, persahabatan mereka menjadi contoh terbaik kepada generasi muda,” katanya.

Menurut wakil kumpulan itu, idea menghasilkan filem berkenaan tercetus daripada keprihatinan seorang rakan yang sentiasa memikirkan usaha membantu sahabat lama serta masyarakat sekeliling yang diberi nama ‘Journey Of Rastafarian’z’.

“Sepanjang 26 tahun ini, kami sentiasa saling membantu. Bukan sahaja sesama kami, malah keluarga rakan-rakan turut kami beri sokongan. Kami pernah kehilangan lima sahabat rapat dan sehingga kini kami terus membantu keluarga mereka dari segi kewangan serta pendidikan anak-anak,” jelasnya.

Semangat kebersamaan menjadi tunjang utama Rastafarian’z. Dalam kalangan mereka, kejayaan individu tidak diraikan sebagai pencapaian peribadi semata-mata, sebaliknya dijadikan kekuatan untuk memperkasa rakan-rakan lain. Ada yang menyumbang dari segi kewangan, ada yang menawarkan khidmat nasihat profesional, dan ada yang membuka peluang pendidikan kepada anak-anak sahabat yang telah pergi.

Menurut mereka, penerbitan filem pendek tersebut bukan bertujuan meraih populariti, sebaliknya sebagai inspirasi kepada masyarakat agar menghargai dan memelihara nilai persahabatan.

“Kami hasilkan filem ini untuk memberi inspirasi supaya orang lain turut membantu rakan dan masyarakat. Persahabatan bukan sekadar kenangan zaman sekolah, tetapi satu tanggungjawab sepanjang hayat,” tambahnya.

Seorang lagi ahli kumpulan menyifatkan kejayaan merealisasikan projek itu sebagai sesuatu yang amat membanggakan.

“Saya berasa sangat teruja. Idea ini pada awalnya sekadar cadangan untuk kawan-kawan, namun akhirnya berjaya direalisasikan. Sokongan moral dan kewangan daripada rakan serta keluarga amat besar ertinya. Ribuan terima kasih kepada semua,” katanya.

Pelancaran filem ini membuktikan bahawa persahabatan sejati bukan diukur pada tempoh masa semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk terus hadir, membantu dan memahami antara satu sama lain. Dalam dunia yang semakin mencabar dan cenderung kepada individualistik, kisah Rastafarian’z menjadi teladan bahawa nilai toleransi, empati dan kesetiaan mampu membina ikatan yang berkekalan sepanjang hayat.

Kisah mereka bukan sekadar sebuah filem pendek, sebaliknya cerminan realiti kehidupan tentang erti sahabat, pengorbanan dan tanggungjawab sosial.

Kehadiran para tetamu kehormat ini telah menyerikan lagi majlis pelancaran filem Journey of Rastafarian’z, sekali gus membuktikan sokongan padu pelbagai pihak terhadap usaha murni alumni SMK Rantau dalam mengangkat nilai persahabatan dan kebajikan melalui karya kreatif ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *