KUALA LUMPUR: Peruntukan RM5 juta disalurkan untuk menyediakan ekosistem hala tuju kerjaya yang lengkap secara fizikal dan dalam talian, demi merungkai isu kadar guna tenaga tidak penuh di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata MYFutureJobs Career Exploration Centre
(MYCEC) seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah pemangkin perubahan yang bakal menjadi penghubung antara bakat dan industri.

Beliau menyifatkan hab imersif pertama di Malaysia itu sebagai penyelesaian konkrit dalam membela nasib hampir dua juta generasi muda yang terperangkap dalam polemik ketidakpadanan kerja berkaitan kemahiran.
“Kita tidak mahu perkhidmatan yang ditawarkan melalui MYCEC hanya terhad kepada penggunaan di sekitar
Lembah Klang sahaja kerana hakikatnya isu ketidakpadanan kerja ini berlaku di serata negara.
“Justeru, peruntukan RM5 juta ini akan dimanfaatkan untuk kita perluaskan capaian MYCEC secara dalam talian
dan fizikal di institut pengajian tinggi (IPT) kerana menara gading adalah antara ‘titik awal’ yang memerlukan
instrumen pendedahan mengenai pasaran buruh semasa.
“Sebagai permulaan, kita akan laksanakan di enam menara gading sebagai lokasi perintis, sebelum diperluaskan secara berperingkat ke IPT awam dan swasta di seluruh negara,” katanya ketika berucap
merasmikan MYCEC di KL Sentral, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri
Subahan Kamal.
Pada majlis sama juga berlangsung pemeteraian Memorandum Persefaham (MoU) antara PERKESO dan RHB
Bank Berhad ke arah memperluas akses MYFutureJobs, meliputi 618,000 pengguna aktif Kad Debit-i MySiswa
RHB.
Mengulas lanjut, Ramanan menaruh keyakinan bahawa menerusi kekuatan pangkalan data mengenai pasaran
buruh semasa di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dipaparkan melalui platform interaktif realiti
maya MYFutureJobs, ia bakal menjadi pelengkap dasar di kementerian lain.
“Hal ini kerana, melalui akses kepada program interaktif realiti maya MYFutureJobs ini, siswa bukan sahaja
mendapat pendedahan awal kepada dunia pekerjaan, sebaliknya turut berpeluang menjalani simulasi peranan
sebenar pekerjaan, penilaian kemahiran secara praktikal dan dipadankan dengan kerjaya mengikut keupayaan
mereka.
“Inilah bukti bahawa inovasi dimanfaatkan secara strategik untuk menyelesaikan cabaran sebenar rakyat dan
memperkukuh masa depan tenaga kerja negara,” katanya, hari ini.
Ramanan berkata, MYCEC memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem visual interaktif
untuk menyelaraskan semula potensi graduan dengan keperluan industri yang semakin mencabar.
Katanya, pendekatan sedemikian selari perubahan zaman yang menuntut peralihan daripada kaedah
konvensional semata-mata untuk menarik minat pencari kerja.
“Sebagai contoh, teknologi Roblox yang menjadi inspirasi kepada MYCEC sebenarnya begitu sinonim dengan
gaya hidup generasi muda masa kini kerana cara mereka mencari kerja jauh berbeza dengan zaman terdahulu.
“Justeru, kita perlu letakkan diri dalam sudut pandang mereka agar sebarang dasar, kemudahan dan
penyelesaian yang dirangka bersifat dekat dengan generasi muda.
“Malah, ekosistem pencarian kerja tidak boleh lagi bergerak secara terpisah, sebaliknya, sistem hari ini perlu
menyokong keseluruhan perjalanan seseorang pencari kerja, daripada bangku sekolah sehingga ke alam
pekerjaan,” katanya.
Mengulas cabaran pasaran buruh semasa, Ramanan berkata walaupun kadar pengangguran berada pada
paras rendah iaitu 2.9 peratus, beliau menegaskan bahawa isu sebenar bukan lagi kekurangan pekerjaan, tetapi
ketidakpadanan antara kelayakan, kemahiran dan keperluan industri.
Secara purata, beliau berkata, satu daripada tiga graduan hari ini bekerja dalam bidang yang tidak sejajar
dengan kelayakan mereka, sekali gus mengakibatkan kerugian bakat dan negara kehilangan peluang untuk
mengoptimumkan produktiviti sedia ada.
“Saya percaya penjajaran bakat dengan keperluan industri adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang
mapan, di samping meningkatkan kualiti pekerjaan dan mobiliti sosial rakyat.
“Justeru, saya optimis, MYCEC akan menjadi pemacu perubahan dalam landskap pasaran buruh di Malaysia
dengan menggabungkan teknologi moden dan pendekatan inovatif bagi memperkukuh pemadanan pekerjaan
serta bimbingan kerjaya yang moden dan inklusif,” katanya.



