36,000 ekor ayam segar murah untuk rakyat Selangor sempena hari raya aidilfitri

  • April 15, 2023
  • 2 min read
36,000 ekor ayam segar murah untuk rakyat Selangor sempena hari raya aidilfitri

Shah Alam, 14 April: Bermula esok rakyat di negeri Selangor berpeluang menikmati
penjimatan sebanyak 30 peratus bagi lima produk makanan asas iaitu ayam, telur,
daging, beras dan minyak masak sempena Jualan Mega Ehsan Aidilftri anjuran
Kerajaan Negeri Selangor.


Jualan murah barangan asas itu dianjur di beberapa lokasi menerusi kerjasama
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku penganjur utama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah).


Exco Infrastruktur Dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata jualan mega
ini diadakan di 23 lokasi dalam jangka masa tersebut (15 hingga 20 April).

FAMA Selangor akan menganjurkan jualan di 11 lokasi, manakala PKPS dan Ko Hijrah
masing-masing mengendalikan enam lokasi.


“Jualan bermula hujung minggu ini juga menawarkan kuantiti barangan lebih banyak
termasuk lebih 36,000 ekor ayam berbanding penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat
(JER) pada hari biasa,” katanya.


Menurutnya lagi jualan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dengan
subsidi berjumlah RM375,000 daripada Kerajaan Negeri akan disalurkan kepada tiga
agensi ini mengikut jumlah barangan yang dijual.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor
(PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pula berkata program ini adalah
kesinambungan Program JER yang telah dilaksanakan PKPS sejak September tahun
lalu.

“Alhamdulillah program JER ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan
dimana produk segar habis terjual di hampir semua lokasi jualan.

Justeru itu kami berusaha untuk mendapatkan stok produk segar yang lebih banyak bagi membantu meringankan beban rakyat B40 di negeri Selangor,” katanya.


Butiran produk makanan yang akan dijual di setiap lokasi adalah seperti berikut;

  1. Ayam standard dengan berat purata 1.8 kilogram (kg): RM10 seekor, diskaun
    sebanyak RM7.00 berbanding harga pasaran semasa RM17.00.
  2. Telur ayam Gred B pada harga RM10.00 sepapan (30 biji), penjimatan
    sebanyak RM3.90 berbanding harga pasaran semasa RM13.90.
  3. Daging pejal segar pada harga RM35.00 per/kg, penjimatan RM7.00 per/kg
    berbanding harga pasaran semasa RM42.00 per/kg
  4. Beras pada harga RM10.00 per pek 5kg berbanding harga pasaran semasa
    RM13.00 per pek 5 kg.
  5. Minyak masak 5 kg pada harga RM25 berbanding harga pasaran semasa
    RM31.
    Jadual lengkap serta lokasi program jualan boleh dilayari menerusi pautan
    https://linktr.ee/myPKPS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *