SUNGAI BULOH, 10 Mac 2026 – Seramai 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan menerima peluang pekerjaan menjelang 2030 menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira hasil kerjasama strategik antara PERKESO, PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.


Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ramanan Ramakrishnan di Kompleks PERHEBAT.
Inisiatif tersebut bertujuan membina ekosistem menyeluruh bagi membantu veteran ATM beralih ke alam pekerjaan melalui pemadanan kerjaya, perkongsian data serta integrasi sistem antara agensi.
Menurut Mohamed Khaled, usaha itu memastikan veteran di seluruh negara, termasuk di luar bandar, mendapat peluang pekerjaan yang bermaruah selaras dengan kemahiran dan disiplin yang dimiliki.
Sementara itu, Dr. Ramanan berkata kerajaan menyasarkan kadar penempatan sekurang-kurangnya 45 peratus melalui intervensi program pekerjaan yang dijalankan sepanjang tahun ini.
Bagi tempoh 2020 hingga 2025, seramai 5,530 veteran ATM telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan, manakala 573 veteran memulakan kerjaya baharu pada tahun 2025, terutama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknikal.
Program ini turut merangkumi pengesahan identiti veteran secara rasmi oleh JHEV dan PERHEBAT, integrasi data dengan portal MYFutureJobs, serta penglibatan majikan strategik bagi memperluas peluang kerjaya kepada golongan tersebut.



