LABUAN, 8 Feb — Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Industri Labuan bagi meneliti isu utama yang dihadapi pemain industri tempatan susulan sesi libat urus bersama sektor berkenaan.
Sesi tersebut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Lo Su Fui; wakil Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, agensi kerajaan, dewan perniagaan serta pemain industri tempatan.

Maklum balas yang diterima menyentuh cabaran operasi semasa serta keperluan sebenar industri, khususnya dalam memastikan kelangsungan ekonomi Labuan pasca pandemik COVID-19.
Pasukan petugas berkenaan akan dipengerusikan Lo Su Fui dan dipengerusikan bersama Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Mohd Husni Mohamad Salleh. Turut menganggotainya termasuk Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, pegawai kanan Jabatan Wilayah Persekutuan serta wakil agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Bekalan Air Labuan.
Pasukan ini akan bekerjasama dengan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, bagi penyelarasan dasar dan diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan cadangan penyelesaian, khususnya berkaitan penyelarasan antara agensi kerajaan.
Kerajaan memberi jaminan keutamaan akan terus diberikan kepada pengukuhan industri sedia ada, termasuk penyelesaian isu asas seperti bekalan air dan elektrik, bagi memastikan pembangunan Labuan kekal mampan serta berdaya saing.



