Keadilan Bukit Bintang lancar sistem e-Aduan Awam, perkukuh hubungan parti dan rakyat

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bukit Bintang melakar satu lagi langkah progresif apabila melancarkan Sistem e-Aduan Awam serta laman web rasmi Cabang Bukit Bintang, sebagai platform digital bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan dan pandangan berkaitan isu setempat.

Tengku Imran

Majlis pelancaran mini yang berlangsung pada petang ini dimulakan dengan bacaan doa dan dihadiri barisan kepimpinan cabang, wakil biro, serta rakan-rakan pengamal media. Pihak urus setia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan memberikan sokongan terhadap inisiatif berkenaan.

Ketua Penerangan Keadilan Cabang Bukit Bintang Tengku Imran Tengku Zainal Abidin menegaskan bahawa pelancaran sistem e-Aduan Awam ini merupakan satu langkah kecil tetapi signifikan dalam usaha mendekatkan parti dengan rakyat, khususnya penduduk di kawasan Bukit Bintang.

Sesi suai kenal bersama media

“Sejak penubuhan pejabat cabang, kita menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat. Justeru, sistem ini diwujudkan bagi memudahkan orang awam membuat aduan secara lebih tersusun, telus dan mudah diakses,” katanya.

Menurut beliau, sistem e-Aduan Awam ini berfungsi sebagai platform terbuka untuk orang ramai mengemukakan aduan, cadangan, pandangan serta permasalahan yang dihadapi, sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa dan penguat kuasa, bergantung kepada isu yang dibangkitkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Biro Aduan Awam Cabang Bukit Bintang serta pasukan biro yang berusaha merealisasikan pembangunan laman web dan sistem aduan tersebut.

“Kami di KEADILAN Cabang Bukit Bintang percaya suara rakyat tidak boleh dipinggirkan. Ia perlu didengar, direkod dan diambil tindakan sewajarnya. Sistem ini adalah medium untuk memastikan setiap aduan diberi perhatian,” ujarnya.

Dalam masa sama, peranan media turut ditegaskan sebagai rakan strategik penting bagi memastikan maklumat berkaitan sistem e-Aduan Awam ini dapat disampaikan kepada masyarakat secara tepat dan seimbang.

“Kami amat mengalu-alukan sokongan dan liputan daripada pihak media agar inisiatif ini diketahui dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Bukit Bintang. Kami juga terbuka menerima teguran serta pandangan membina demi penambahbaikan sistem ini,” tambah beliau.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan perasmian rasmi pelancaran Laman Web KEADILAN Cabang Bukit Bintang dan Sistem e-Aduan Awam, yang disempurnakan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.

Pelancaran ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada budaya pentadbiran yang lebih responsif, inklusif dan berteraskan rakyat, selaras dengan semangat reformasi yang menuntut ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis diakhiri dengan ucapan penghargaan kepada semua hadirin serta rakan media yang hadir memberikan sokongan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *