BUKIT KAYU HITAM: Seorang komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam nyaris maut apabila kenderaan dipandunya ditembak dua das dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dipercayai ditembak ketika dalam perjalanan menghala ke Masjid Al Muhajirin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, tembakan pertama terkena pintu belakang kanan kenderaan selepas mangsa sempat membrek, menyebabkan peluru tersasar daripada sasaran asal.
“Tembakan kedua pula dilepaskan ke arah tingkap pemandu yang terbuka dan peluru itu melintasi muka mangsa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, Mohd Nasaruddin tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan kejadian, polis melancarkan Ops Tutup termasuk di kawasan sempadan Kota Putra dan Durian Burung, Padang Terap bagi mengesan suspek yang masih belum dikenal pasti.
Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah serta Unit Anjing Pengesan (K-9) turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat mendatangkan kematian atau kecederaan.



